Ghaddar Tolak Tawaran Melaka
MELAKA: Hajat Melaka United (MU) mendapatkan khidmat Mohammed Ghaddar musim depan berkecai apabila penyerang Lubnan itu menolak tawaran yang dikemukakan.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika dihubungi mengesahkan keputusan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
“Kami akur dengan keputusan Ghaddar. Itu pilihannya walaupun JDT pada dasarnya sudah bersetuju memberi pelepasan walaupun dia masih memiliki kontrak bersama pasukan Harimau Selatan berkenaan,” katanya.
Yusoff berkata, keputusan Ghaddar itu bermakna pihaknya kini terpaksa mencari pengganti dan menyerahkan kepada ketua jurulatih, Eduardo Almeida untuk membuat pilihan.
Skuad Hang Tuah juga sudah mengenal pasti pemain tengah dari Filipina dan Indonesia bagi mengisi kuota import dari Asia Tenggara.