Pahang Akan Dihukum Jika Masih Berdegil Enggan Sertai Piala AFC – TMJ

Tunku Ismail pada sidang akhbar di Hotel Thistle di sini semalam.

JOHOR BAHRU – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan tindakan Pahang menarik diri daripada mewakili Kedah ke perlawanan Piala Konfederasi Asia (AFC) tahun hadapan seolah-olah memberi tanggapan buruk kepada industri bola sepak tempatan.

“Kalau memang alasan tidak ada duit, bukankah AFC ada memberikan setiap pasukan yang bertanding peruntukan? Kalau awak (Pahang) sudah menolak tawaran untuk bermain di peringkat antarabangsa, apa gunanya awak memiliki lesen AFC tetapi tidak mahu bermain?

“Apabila anda menolak untuk bermain, ia memperlihatkan seolah-olah pertandingan tertinggi peringkat antarabangsa itu tidak penting, anda lebih rela jadi jaguh kampung daripada bermain di peringkat antarabangsa dan menaikkan nama dan mutu industri bola sepak tempatan,” tegas Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu.



Menurutnya, tindakan Pahang tersebut juga dilihat tidak berfikiran panjang terutamanya dalam usaha menarik penaja dan memberikan peluang kepada pemain untuk memperoleh pengalaman bermain di gelanggang lebih tinggi.

Tambahnya, FAM akan mengadakan perbincangan dengan Pahang dalam masa terdekat dan sekiranya pasukan berkenaan masih berdegil, mereka bakal berdepan dengan Jawatankuasa Tatatertib FAM, katanya dalam sidang media di sini semalam.

Isnin lalu, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengumumkan keputusan untuk menolak dari menyertai Piala AFC 2018 bagi memberi sepenuh perhatian kepada liga domestik.

Pemilihan Pahang adalah susulan kegagalan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan AFC.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan bersama Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) berkata keputusan tersebut dibuat selepas KFA gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit.

Sementara itu, mengulas mengenai kemerosotan ranking pasukan negara yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Tunku Ismail membidas tindakan sesetengah penyokong, media dan individu tertentu yang mengkritik tanpa asas usaha persatuan tersebut mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

Katanya, tidak akan sesekali tunduk dengan desakan dan kritikan golongan tersebut yang mempunyai agenda tersendiri untuk melihat beliau meletakkan jawatan sebagai presiden sekali gus mematahkan usaha persatuan.

Menurutnya, adalah tidak adil sekiranya usahanya membangunkan industri bola sepak negara terus-terusan dinilai dan dihentam sedangkan beliau hanya memegang tanggungjawab kerusi No. 1 FAM tidak sampai setahun.

“Kalau nak nilai pencapaian Harimau Malaya sepatutnya dilakukan pada 10 tahun lalu sebab saya datang ke sini (FAM) untuk memperbaiki FAM. Hari ini saya bekerja untuk memastikan setiap pasukan mendapat hak penyiaran berjumlah RM3 hingga RM4 juta bermula tahun hadapan yang kita jangka akan terus meningkat.

Tunku Ismail meminta masa untuk membentuk formula kemenangan kepada pasukan kebangsaan yang sebelum ini dilihat tidak ada langsung dimiliki oleh pasukan berkenaan.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak akan tunduk dengan desakan sesetengah pihak dan juga segelintir penyokong yang mahu beliau melepaskan jawatan tertinggi dalam badan bola sepak negara.




Tunku Ismail menyifatkan kritikan dan desakan berkenaan sengaja diadakan selain tidak mahu melihat kemajuan bola sepak selain tidak kurang yang mempertikaikan kegagalan Kedah untuk beraksi pada saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) gara-gara tidak mendapat lesen.

Katanya, FAM bukan seperti 10 tahun lalu yang mana pembaharuan sedang giat dilaksanakan untuk mempertingkatkan kualiti bola sepak.

Beliau berkata, kepimpinan baru hanya berada di FAM kurang setahun dan mereka seharusnya diberi ruang untuk melakukan penambahbaikan dan sedia melepaskan jawatan selepas penggal pertamanya berakhir.

“Agak pelik dengan mentaliti sesetengah pihak yang cuba menghalang usaha saya membangunkan bola sepak tanah air, sebaliknya mereka lebih gemar mengkritik dan berusaha menidakkan apa yang saya lakukan bagi pembangunan bola sepak.

Dalam ranking yang dikeluarkan FIFA hari ini, skuad Harimau Malaya menghuni tangga ke-174, sekali gus mengulangi rekod terburuk yang dicapai pada April tahun lepas.

Sumber KosmoHMetro