Mourinho tawar Carrick jadi jurulatih

MANCHESTER: Pengendali Manchester United Jose Mourinho berkata dia ada membuat tawaran kepada kapten kelab, Michael Carrick untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan kelab.

Sebelum United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Brighton awal pagi tadi, bekas pemain England berusia 36 tahun itu mendedahkan dia terpaksa menjalani pembedahan jantung akibat denyutan tidak sekata.



Pemain tengah itu berdepan masalah berkenaan ketika kelabnya mencatat kemenangan ke atas Burton pada saingan Piala Liga, September lalu dan baru saja menjalani latihan bersama skuad utama.

“Sebagai seorang individu, Carrick lebih penting berbanding dirinya sebagai pemain,” kata Mourinho. “Kami memberikan masa kepadanya untuk berehat, kembali pulih, membina keyakinan dan kemudian membuat keputusan sama ada mahu terus bermain atau bersara.

“Dia tahu ada kekosongan dalam barisan kejurulatihan saya untuknya jika dia mahu. Kerusi sudah tersedia untuknya di pejabat. Saya mahukannya, ahli lembaga juga mahukanya, begitu juga dengan pemilik kelab ini.

“Carrick berada dalam situasi selesa. Tetapi dia mahu terus bermain sehingga hujung musim ini dan sekarang lebih yakin untuk kembali beraksi.”




Mourinho dilihat kecewa selepas menyaksikan United beraksi hambar dengan hanya gol sendiri pertahanan lawan, Lewis Dunk membolehkan mereka meraih tiga mata penuh.

“Barisan pemain saya gagal beraksi dengan baik tetapi pada masa sama mereka memberikan segala-galanya untuk meraih tiga mata.

“Bagi saya, Brighton lebih berhak untuk menang berbanding keputusan yang tidak memihak kepada mereka,” kata Mourinho.