FAP Makin ‘Nazak’, Pemangku Presiden Pun ‘Angkat Kaki’
PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) semakin ‘nazak’ apabila pemangku presidennya pula meletak jawatan minggu lalu.
Selepas Zairil Khir Johari meletak jawatan Oktober lalu, Datuk Gary Nair yang memegang jawatan naib presiden telah bertindak sebagai pemangku presiden FAP .
“Apa nak buat lagi? Duit ‘tak dak’. Hutang pula hampir RM4 juta. Takkan saya mahu memikul masalah ini seorang diri?.
“Tindakan presiden sebelum ini meletak jawatan secara tiba-tiba membuatkan kami buntu. Saya memikul tugas beliau dan tidak ada apa yang boleh saya buat.
“Semua orang tanya saya macam mana dengan pasukan…tidak lama lagi dah nak masuk musim baharu? Saya mahu jawab apa?,” ujarnya kepada mStar Online.
Jelas Gary, beliau juga telah memaklumkan mengenai peletakan jawatan ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“FAP hanya ada satu sahaja penaja utama iaitu kerajaan negeri. Sudah tentu sekarang sukar untuk meluluskan permintaan persatuan kerana Pulau Pinang baru sahaja dilanda banjir.
“Banyak duit disalurkan kepada peruntukan banjir dan macam-macam masalah lain.
“Sekarang siapa yang nak tolong persatuan?,” ujarnya.
Skuad Harimau Kumbang itu hanya bertahan dua musim sahaja dalam saingan Liga Super sebelum tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu berada di kedudukan ke-12 Liga Super musim ini. – mStar