Ampersand dilantik cari penaja, Tarik diri jika TMJ lepas jawatan

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menandatangani perjanjian dengan Ampersand Sports Sdn Bhd dan melantik syarikat berkenaan sebagai agensi eksklusif bagi hak penajaan saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan.

Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, syarikat berkenaan dilantik untuk mencari penaja bagi saingan Liga M untuk tempoh selama lima tahun.

“Sasaran yang diletakan untuk syarikat berkenaan ialah untuk mendapatkan penajaan sekurang-kurangnya RM104 juta untuk tempoh lima tahun. Ia merupakan langkah positif bagi meningkatkan lagi mutu liga tempatan.



“Perjanjian berkenaan adalah untuk jangka masa panjang. Untuk tempoh jangka pendek memang saya harus bekerja keras lagi untuk membantu setiap pasukan yang bertanding di Liga M.

“Menerusi penajaan yang bakal diraih, semuanya akan diberikan kepada pasukan yang bertanding dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan mengambil sesen pun kerana penajaan berkenaan turut membabitkan program pembangunan bola sepak di setiap persatuan negeri dan kelab,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Ampersand Sports Sdn Bhd, Tan Sri Vincent Lee Fook Long, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam dan Ketua Eksekutif Ampersand Sports Sdn Bhd, Hasnan Hassan.

Tunku Ismail menegaskan, saingan liga musim depan akan turut membabitkan Divisyen 4 dan 5 kerana mahu membentuk komuniti positif dalam usaha membangun bola sepak tempatan di peringkat akar umbi dan menukar mentaliti masyarakat untuk menerima perubahan.

Beliau juga menambah, seandainya perubahan pemikiran tidak dapat dilakukan, kancah bola sepak tempatan akan tetap berada di takuk lama dan tidak berkembang.

“Kita jangan malu untuk belajar dan terlalu angkuh. Biarlah kita bermula daripada bawah walaupun belajar dengan apa yang Thailand dan Vietnam hasilkan untuk mencapai kejayaan.

“Apa yang kita lakukan sekarang untuk mengembalikan bola sepak kepada rakyat. Itu sahaja dan ingin saya katakan tiada unsur kroni dan kepentingan peribadi kerana saya ikhlas untuk menaikkan imej bola sepak negara,” kata Tunku Ismail.

Sementara itu PENGERUSI Ampersand Sports Sdn Bhd, Tan Sri Vincent Lee Fook Long secara terbuka mendedahkan bahawa beliau akan menarik diri sebagai agensi yang memegang hak eksklusif mencari penajaan bagi saingan Liga Malaysia seandainya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatannya di dalam badan induk bola sepak negara itu.




Vincent Lee berkata, pembabitan syarikat berkenaan untuk membantu Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) adalah kerana yakin dengan kredibiliti dan visi Tunku Ismail yang bersungguh-sungguh mahu memajukan bola sepak tempatan.

“Sekiranya Tunku Ismail berundur dalam tampuk pemerintahan bola sepak negara ini, kami juga sedia untuk menarik diri. Apa pun kami percaya dengan perjanjian yang dimeterai ini, kami akan terus membantu FMLLP dan juga FAM bagi membantu Tunku Ismail menaikkan imej bola sepak tempatan.

“Pihak kami komited dalam membawa lebih nilai komersil kepada FMLLP dan status Liga Malaysia (Liga M) dalam penajaan dan kami akan berusaha untuk beri yang terbaik dalam pembangunan bola sepak tempatan.

“Sebenarnya, kami tidak mengikuti rapat mengenai bola sepak tempatan namun mula tertarik untuk mengambil bahagian selepas teruja dengan misi dan visi Tunku Ismail dalam memajukan bola sepak negara,” katanya.

Vincent Lee berkata, syarikat miliknya mempunyai teknologi dan kepakaran untuk mengembangkan sumber tajaan sebagaimana yang dilakukan di beberapa liga luar seperti Indonesia.

Katanya, syarikatnya sudah mengenal pasti 10 hingga 12 pihak penaja yang bersedia untuk penaja dalam saingan Liga M pada musim depan namun masih belum boleh mendedahkannya dalam masa terdekat.

“Biar kami muktamadkan dahulu dan akan membuat pengumuman tidak lama. Pembabitan kami hanya disebabkan atas dasar kepercayaan terhadap kredilibiti Tunku selaku presiden FAM,” kata Vincent Lee.