FAM berhak ambil tindakan terhadap Pahang

Image result for fam pahang

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhak mengambil tindakan ke atas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kerana menolak tawaran beraksi di Piala AFC tahun depan.

Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, tindakan Pahang itu dilihat boleh memberi kesan terhadap reputasi FAM khususnya di mata Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).



Malah, Redzuan menyifatkan keputusan Pahang menolak tawaran itu juga menimbulkan persoalan kerana mereka hanya menjelaskan alasan untuk memberi tumpuan kepada saingan liga tempatan.

“Bagi saya ia masih menjadi persoalan kenapa Pahang enggan sertai kejohanan itu. Jika alasan ingin fokus kepada liga tempatan, pasukan lain yang sertai Piala AFC pun ada liga tempatan juga.

“Kita bimbang keputusan Pahang itu boleh menyebabkan kemungkinan AFC mengenakan tindakan termasuk tidak bagi peluang untuk wakil Malaysia sertai Piala AFC pada masa akan datang.

“Malah ia juga akan memberi impak kepada FAM dan bagi saya badan induk itu berhak mengambil tindakan sewajarnya ke atas Pahang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.




Sebelum ini, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John menjelaskan satu slot untuk wakil Malaysia akan hangus sekiranya Pahang bertegas menolak tawaran beraksi pada kejohanan peringkat Asia itu.

Pahang yang dipilih sebagai pengganti Kedah bagi mengisi slot itu selepas Helang Merah gagal mendapatkan lesen AFC mempunyai tempoh sehingga Khamis ini untuk membuat keputusan muktamad terhadap tawaran berkenaan.

Dalam pada itu, Redzuan turut menasihatkan PBNP membuat pusingan ‘U’ dengan menyertai Piala AFC bagi mengelak lebih banyak masalah yang akan timbul selepas ini.

“Kalau susah sangat Pahang boleh hantar skuad kedua. Kita juga selalu cakap nak bagi pendedahan kepada pemain dan inilah masanya,” tambah Redzuan. – BH