Marcote hampir pasti ke Kedah

MARCOTE (duduk di kanan) pernah memangku tugas sebagai jurulatih

RAMON Marcote mengesahkan, rundingan beliau bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hampir menemui kata sepakat apabila jurulatih kelahiran Sepanyol itu mendedahkan ‘99 peratus’ perjanjian hampir dimuktamad­kan.



Jelas Marcote, beliau kini hanya menunggu pelantikan rasmi daripada KFA sebelum mencapai kata persetujuan terakhir untuk mengendali skuad Helang Merah bagi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun, bekas jurulatih akademi Atletico Madrid itu belum dapat mengesahkan sama ada beliau akan dilantik secara rasmi menjadi pengganti kepada Mohd. Nidzam Adzha Yusoff selagi belum mendapat ‘hitam putih’ daripada kelab gergasi utara tersebut.

“Saya tidak tahu (pengesahan pelantikan sebagai ketua jurulatih baharu Kedah). Kami harus tunggu. Kami masih perlu mencapai kata sepakat terhadap perjanjian terakhir.

“Kami semakin hampir (berunding) tetapi ia bukan 100 peratus lagi. Saya fikir hari ini (semalam) atau esok (hari ini) segalanya akan selesai.

“Apa yang pasti, 99 peratus sudah selesai tetapi saya tidak boleh mengesahkan lagi saya sebagai ketua jurulatih Kedah. Itu sahaja yang saya dapat maklumkan,” katanya ketika dihubungi di Madrid, Sepanyol semalam.

Nidzam sudah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai pengendali Kedah sebaik skuad Helang Merah tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selangor.

KFA pernah menyatakan pilihan mereka ialah bekas jurulatih JDT, Mario Gomez yang dilihat sebagai pengganti ideal buat Nidzam jika dibandingkan dengan Marcote.

Difahamkan, keputusan itu tidak dapat direalisasikan apabila penaja Kedah, ECK Deve­lopment Sdn. Bhd. (ECK) lebih berminat untuk membawa Marcote selepas satu mesyuarat khas diadakan Jumaat lalu.

Marcote sebelum ini mengakui sudah tidak sabar kembali ke Malaysia memandangkan beliau juga telah dihubungi ECK yang turut menunjukkan minat terhadap dirinya untuk kembali bersama Kedah.

“Penaja Kedah (ECK) ada menghubungi saya dan memberitahu niat peminat-peminat Kedah untuk menyaksikan saya kembali ke negeri itu.

“Kedah sentiasa istimewa di hati saya. Saya ba­nyak kena­ngan manis di sana terutama layanan peminat-peminat Kedah. Saya tidak perlu sembunyikan hasrat bahawa saya sentiasa teruja untuk kembali bersama bola sepak Kedah,” katanya.




Sementara itu Pengarah ECK Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew yang juga penaja utama skuad Helang Merah memberitahu, rundingan kedua-dua pihak kini berada di fasa terakhir.

“Saya harap semua penyokong bersabar sedikit lagi. KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) tengah buat apa yang patut dan bagilah masa untuk Marco melihat lebih jelas dahulu, selepas itu kita tengok apa jawapannya.

“Sekarang Presiden (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) berada di Kuala Lumpur. Mungkin selepas itu beliau akan umumkan secara rasmi,” ujarnya.