Pahang Sah Tidak Sertai Piala AFC 2018

Pasukan naib juara Liga Super 2017, Pahang dengan ini secara rasminya tidak akan mewakili Malaysia untuk pertandingan Piala AFC 2018.



Ini kerana sehingga tarikh tutup yang ditetapkan iaitu pada 30 November 2017, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menerima surat balasan atau sebarang maklum balas daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menyertainya.

Mengikut peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kekosongan slot ditinggalkan Pahang itu tidak boleh diisi oleh mana-mana pasukan lain.

Oleh yang demikian, juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menjadi wakil tunggal Malaysia dengan mereka akan beraksi perlawanan pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2018 dan jika JDT gagal melayakkan diri ke saingan peringkat kumpulan, mereka akan secara automatik mendapat slot beraksi pada Piala AFC 2018.




Bagaimanapun, andai JDT berjaya melangkah masuk ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2018, slot Piala AFC 2018 berkenaan akan diberikan kepada pasukan Selangor yang kini diletakkan dalam senarai menunggu.

Untuk makluman semua, majlis undian Liga Juara-Juara AFC 2018 dan Piala AFC 2018 akan berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada Rabu ini, 6 Disember 2017.