Selangor harap kembali beraksi di Stadium Shah Alam

KUALA LUMPUR – Pasukan Selangor masih berharap kerajaan negeri akan membenarkan pasukan itu menggunakan Stadium Shah Alam, sebagai gelanggang rasmi bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal turut mempersoal mengapa skuad Gergasi Merah tidak dibenarkan menggunakan stadium itu sedangkan pasukan dari negeri lain seperti Perak boleh menggunakannya.

Beliau berkata, beraksi di venue seperti Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan 80,000 penonton dapat membantu pasukan itu menjana pendapatan sendiri, selepas kerajaan negeri memberhentikan peruntukan kepada pasukan berkenaan sejak Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan sebagai Presiden FAS, Disember lepas.




“Saya rasa tidak logik kalau Selangor bermain di stadium lain kerana Gergasi Merah patut masih (beraksi) di Stadium Shah Alam, yang dibina untuk pasukan Selangor. Kita bukan guna percuma, kita pun bayar sewa. Jika kita bermain di stadium kecil seperti Stadium Selayang yang mempunyai kapasiti 11,000 penonton, sukar untuk menjana pendapatan lebih.

“Sejak dua tahun lalu, FAS menerima peruntukan RM23 hingga RM25 juta setahun, tetapi secara tiba-tiba semua peruntukan diberhentikan dan diminta mencari dana sendiri. Namun kita masih berjaya pamer aksi yang baik untuk menamatkan Liga Super di tempat keenam. – Bernama