Bayern buru jaringan besar bertemu PSG

BERLIN: Pengendali Bayern Munich, Jupp Heynckes yang dilabel antara pakar taktikal, bersedia meranapkan hajat Paris Saint-Germain (PSG) apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Juara-Juara di Munich, awal pagi Rabu ini.

Bayern memerlukan sekurang-kurangnya empat gol tanpa bolos dalam pertemuan terakhir Kumpulan B itu sekali gus muncul juara kumpulan.

Meskipun kedua-duanya sudah layak ke pusingan berikutnya, PSG berada di tangga pertama dengan 15 mata, Bayern hanya ketinggalan tiga mata di belakang kelab Perancis itu.




Justeru, tuan rumah perlu meraih kemenangan untuk mengikat PSG dengan 15 mata dan cuba memintas berdasarkan kelebihan jaringan.

“Tidak mustahil untuk mencapai kemenangan di halaman sendiri tetapi untuk memburu hingga empat gol mungkin sukar terutama apabila berdepan lawan kuat seperti PSG.

“Begitupun, saya tetap optimis dengan peluang kami dan bersedia mengerah seluruh kudrat dalam aksi itu nanti. Disiplin adalah sebahagian daripada kehidupan dan pekerjaan.

“Maka kami akan tampil berdisiplin dengan matlamat untuk mencapai tiga mata penuh selain mencari seberapa banyak gol,” katanya. – AFP