Felda United Sah Diturunkan Ke Liga Premier 2018

FMLLP mengesahkan Felda United bakal bermain di Liga Premier untuk musim  2018. Keputusan ini telah diumumkan pada satu sidang media sebentar tadi.

Pasukan PKNP dan Negeri Sembilan akan bermain di Liga Super musim depan.



Terdahulu sumber dalaman Felda menganggap keputusan FMLLP merupakan satu penganiayaan kepada mereka sekali gus mematikan persaingan sihat dalam liga bola sepak Malaysia.

Katanya, walaupun pihak kelab sudah menyempurnakan segala syarat dikehendaki FAM sebelum ini, kehadiran mereka seolah-olah tidak disenangi apabila pelbagai alasan dicipta untuk menyekat FELDA United daripada beraksi dalam Liga Super musim depan.

“Sebelum ini, semua orang tahu FELDA hanya tinggal satu peratus saja untuk melepasi syarat lesen FAM selepas 99 peratus dokumentasi selesai. Kami cuma tertinggal cop audit saja yang membuatkan permohonan lesen kami tergantung.

“Tetapi hal itu sudah diselesaikan, dengan FELDA mendapatkan cop berkenaan dan kita hanya lewat sehari untuk menyerahkan dokumen itu.





“Apa yang saya tahu, pada mesyuarat ahli lembaga pengarah FMLLP minggu lalu, FELDA dibenarkan bermain selepas kesemua ahli bersetuju dengan permohonan kami itu.

“Namun, tiba-tiba keputusan itu bertukar dengan menyatakan kami terlewat hantar sedangkan dalam mesyuarat minggu lalu rayuan kami sudah diluluskan,” kata sumber itu ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya lagi, adalah tidak adil kepada pemain yang sudah bertungkus lumus sepanjang musim lalu, namun hanya disebabkan kelewatan itu mereka dihukum sedangkan banyak lagi pasukan Liga Super mengalami masalah besar seperti tunggakan gaji dan ketiadaan akademi tetapi dibenarkan beraksi di Liga Super.

“Alasan agak pelik. Kalau ikutkan pasukan lain juga lebih besar masalah mereka tetapi masih diberikan lesen. Cuba fikir, masalah tunggakan gaji lebih besar ke atau hanya tertinggal cop saja,” katanya yang enggan menuding jari kepada mana-mana individu. – Bazookapenaka/HMetro