Tewaskan City, Jurulatih Shakhtar Menjadi Zorro Dalam Sidang Akhbar
Ketua jurulatih Shakhtar Donetsk muncul dalam sidang media selepas perlawanan dengan Manchester City berpakaian seperti Zorro, awal pagi tadi.
Shakhtar membenam anak buah Pep Guardiola 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) — kekalahan pertama City selepas 29 perlawanan.
Sehubungan itu, jurulatih, Paulo Fonseca, mengotakan janjinya sebelum perlawanan bahawa dia akan berpakaian seperti Zorro jika gergasi Ukraine itu mara ke pusingan kalah mati.
“Ini adalah sidang media paling menarik sepanjang karier saya,” ujar Fonseca kepada pemberita.
“Saya berasa sangat seronok. Saya tidak fikir hanya penyokong Shakhtar, malah seluruh rakyat Ukraine perlu berbangga dengan pasukan kami.”
“Kami beraksi dengan permainan paling sesuai. Kami begitu berdisiplin di bahagian pertahanan dan sangat efektif ketika menyerang,” kata Foncesca lagi.
“Adalah sangat penting untuk memperincikan zon tertentu yang membolehkan Manchester City menghadirkan ancaman. Kami melakukannya dengan baik dan mereka gagal memberi ancaman seperti biasa.”