FAM ikat Cheng Hoe selama dua tahun

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Tan Cheng Hoe diikat selama dua tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya menggantikan Nelo Vingada yang melepaskan jawatannya pada Rabu lalu.



Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Cheng Hoe meneruskan kontrak lamanya yang akan tamat pada Disember 2018.

Bekas pengendali Kedah itu dilantik sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya pada April lalu, bagaimanapun Cheng Hoe dinaikkan pangkat kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan, Khamis lepas.

“Orang hanya melihat masalah bola sepak negara daripada luar sahaja. Apabila pasukan kalah jurulatih akan dipersalahkan dan begitu juga presiden. Mereka tidak melihat pun masalah ini secara terperinci. Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan sesiapa kerana ini adalah tanggungjawab saya.





“FAM merasakan Cheng Hoe adalah calon yang paling sesuai dan kami tidak pun meletakkan sasaran yang tinggi terhadapnya. FAM mengikat Cheng Hoe selama dua tahun berdasarkan kontrak lamanya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco FAM kali ketiga di Wisma FAM, hari ini.

Kata pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu lagi, FAM tidak akan tergesa-gesa untuk mencari penolong jurulatih bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Cheng Hoe.

“Terpulang kepada Cheng Hoe dia nak siapa untuk bantu dia. Saya dan FAM tidak akan masuk campur,” katanya. – UTUSAN