Penyakit Besar Kepala Pemain Harimau Malaya Boleh ‘Dirawat’ – PFAM

PFAM mahu turun padang untuk membasmi sikap besar kepala dalam

PENYAKIT ‘besar kepala’ segelintir pemain senior dalam skuad Harimau Malaya boleh dirawat dan dibasmi dengan syarat setiap persatuan bola sepak negeri (FA) serta kelab-kelab harus memberi kerjasama terhadap perancangan yang cuba dilaksanakan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bermula Januari depan.



Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya menegaskan, pihaknya memiliki perancangan dan bersedia turun padang untuk membasmi sikap ‘besar kepala’ dalam kalangan pemain termasuk memberi kaunseling kepada barisan pemain profesional negara yang beraksi pada Liga Malaysia (Liga M).

Langkah tersebut dilaksanakan selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan, ada segelintir pemain senior negara yang memiliki sikap buruk hingga boleh dianggap sebagai ‘musuh dalam selimut’ skuad kebangsaan.




Rezal melahirkan keyakinan bahawa sikap ‘besar kepala’ dalam kalangan pemain masih boleh dirawat memandangkan bola sepak negara kini ke arah pembaharuan.

“Bagi pihak PFAM, apa yang kami boleh bantu adalah memberi kesedaran kepada pemain-pemain terbabit supaya memiliki sikap yang lebih positif agar dapat menaikkan mutu bola sepak negara ke arah lebih baik.

“PFAM berharap FA serta kelab-kelab yang bersaing dalam Liga M dapat memberi kerjasama penuh bagi membasmi sikap pemain yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi semalam. – Kosmo!