Piala SuperMokh 2017 medan pertembungan bakat-bakat elit

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Kejohanan jemputan antarabangsa Piala SuperMokh edisi keempat kali ini akan menjadi kayu pengukur buat pemain muda negara terutama apabila berdepan lawan bertaraf antarabangsa dalam penganjuran yang di jadual berlangsung pada 13 hingga 17 Disember ini.

Kejohanan bawah umur tersebut menyaksikan perubahan format dengan hanya penglibatan dua puluh empat pasukan bagi tiga kategori.



Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN), Safirul Azli Abu Bakar berkata, peluang ini harus dimanfaatkan sebaiknya oleh pemain-pemain tempatan daripada Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

“Cabaran negara akan digalas oleh pasukan-pasukan elit AMD. Oleh itu, pemain seharusnya mengambil kesempatan ini untuk bersaing dengan pemain yang berpotensi menjadi bintang dunia dan ini merupakan peluang terbaik untuk mengukur kemampuan mereka di pentas antarabangsa.

“Setiap kategori akan membariskan pasukan akademi dari Eropah dan Asia dan reputasi pasukan-pasukan tersebut dalam menghasilkan bintang dunia telah pun terbukti,” kata Safirul yang turut mengesahkan penyertaan pasukan akademi dari England, Arsenal FC.

Dalam penganjuran kali ini, juara bertahan kategori bawah 12 tahun, Sporting CP akan kembali membuat kemunculan bagi mempertahankan kejuaraan yang turut disertai wakil Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) menerusi saingan bawah 13 dan 14 tahun.




Akademi Sporting CP dikenali sebagai kilang melahirkan pemain-pemain Portugal bertaraf dunia seperti Cristiano Ronaldo, Luis Figo, Nani dan Ricardo Quaresma manakala PSG pula dikenali sebagai tapak permulaan kerjaya bagi pemain-pemain Perancis seperti Nicolas Anelka dan Mamadou Sakho.

Berbeza dengan edisi sebelumnya, penganjuran Piala SuperMokh pada tahun ini akan mengekalkan kategori bawah 12 tahun dan kategori bawah 14 tahun manakala kategori bawah 13 tahun pula akan diperkenalkan semula dengan lapan pasukan akan berentap merebut kejuaraan bagi setiap kategori.

Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dipilih sebagai gelanggang pembukaan dan untuk perlawanan akhir kejohanan.

Venue lain yang bakal digunakan untuk kejohanan tersebut ialah Padang Sintetik Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam dan Akademi Maybank Bangi. – UTUSAN