Ramon Marcote sah jurulatih baharu Kedah

Ramon Marcote Pequeno akan menjadi ketua jurulatih pasukan Lang Merah setelah menandatangani kontrak

ALOR SETAR – Jurulatih daripada Sepanyol Ramon Marcote Pequeno, 40, sah menjadi ketua jurulatih pasukan Lang Merah setelah menandatangani kontrak selama setahun bagi mengemudi pasukan Kedah dalam kancah Liga Malaysia bagi tahun 2018.

Majlis menandatangani kontrak itu diadakan di Wisma Darul Aman di sini yang turut disertai Menteri Besar Kedah selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA)Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta disaksikan oleh Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar.

Turut hadir Pengarah Urusan ECK Development Sdn Bhd Tan Sri Dr Khor Eng Chuen selaku penaja pasukan.



Marcote merupakan bekas penolong jurulatih Atletico Madrid dan pernah bersama Kedah pada 2015 sebagai jurulatih kecergasan.

Hasil sentuhannya, Kedah berjaya ke pentas akhir Piala Malaysia ketika beliau memangku tanggungjawab sebagai jurulatih berikutan ketiadaan Tan Cheng Hoe yang mengikuti kursus kejurulatihan profesional di China.

Marcote sebelum ini menjadi pilihan selaku calon bagi menggantikan khidmat Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang menyatakan kesediaan untuk berundur selepas gagal membantu Lang Merah mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia 2017.

Selain Marcote, KFA juga dikatakan meneliti khidmat bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim, Mario Gomez yang dianggap pilihan sesuai untuk membimbing pasukan Kedah berdepan cabaran Liga Malaysia musim 2018.

Ahmad Bashah pada sidang media berkata, beliau mengharapkan dengan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki Marcote, Lang Merah akan mencipta kejayaan demi kejayaan.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, pelantikan Marcote dibuat selepas diputuskan oleh pihak pengurusan dengan membuat pertimbangan dari segi pengalaman dan kebolehannya untuk mengemudi pasukan Kedah.

“Perkembangan ini selaras dengan perancangan pembangunan bola sepak Kedah untuk mewujudkan “DNA” bola sepak tersendiri seiring dengan bola sepak moden mengamalkan gaya “Possession Football” bukan hanya diamalkan skuad utama Kedah tetapi untuk dicontohi oleh semua pasukan akar umbi, ” katanya.

Katanya, setakat ini hampir keseluruhan pemain utama masih dikekalkan dan senarai 21 pemain tempatan dan dua pemain import yang masih kekal itu akan didaftarkan dengan tambahan tiga lagi slot pemain import dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

Ahmad Bashah turut mengharapkan agar rakyat negeri ini terutama penyokong Lang Merah akan terus memberi sokongan padu kepada pasukan untuk sama-sama mengecapi kejayaan yang lebih baik berbanding sebelum ini. – Bernama

Berikut senarai skuad Liga Super Kedah bagi musim 2018:-




PEMAIN DIKEKALKAN:

Penjaga Gol:
Abdul Hadi Abdul Hamid
Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pemain pertahanan:
Mohd Asri Mardzuki
Muhammad Ariff Farhan Md Isa,
Muhammad Syawal Nordin,
Omar Yusuf,
Khairul Helmi Johari
Mohd Rizal Ghazali.

Pemain Tengah:
Baddrol Bakhtiar
Liridon Krasniqi
Sandro Da Silva Mendonca
Mohamad Akram Mahinan
Mohd Amirul Awang Kechik
Muhammad Shazwan Tajudin
Abdul Halim Saari
Muhammad Farhan Roslan
Mohd Syazwan Zainol
Muhammad Hanif Mat Dzahir.

PEMAIN BAHARU

Penjaga Gol:
Mohd Asri Mohamad (skuad Piala Presiden Kedah)
Pertahanan:
Mohd Nor Fiqrie Talib (skuad Piala Presiden Kedah)
Tengah:
Mohd Zulfahamzie (skud Piala Presiden Kedah)
Penyerang:
Muhammad Akhyar Rashid (skuad Piala Presiden Kedah)
Zafuan Azeman (Perlis FA)

PEMAIN DIPINJAMKAN KE PASUKAN LAIN:
Penjaga Gol, Mohd Farhan Abu Bakar – setahun ke PJ Rangers FC- Liga FAM

PEMAIN TAMAT KONTRAK
Mohd Fitri Omar (pertahanan) ke pasukan Terengganu FC
Ahmad Fakri Saarani (penyerang) ke Melaka United
Syazuan Hazani (penyerang) ke PJ Rangers FC- Liga FAM
Muhammad Syafiq Ahmad (penyerang) pasukan terkini belum diketahui
Ken Ilso Larsen (penyerang) pasukan terkini belum diketahui
Zachary Anderson (pertahanan) pasukan terkini belum diketahui