Beri peluang Cheng Hoe kemudi Harimau Malaya – Khairy

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin pelantikan Tan Cheng Hoe selaku pengendali baharu skuad Harimau Malaya adalah keputusan terbaik.

Katanya, Cheng Hoe layak dipilih kerana turut memiliki pengalaman yang luas dalam sukan bola sepak.



“Saya rasa Cheng Hoe adalah keputusan terbaik. Walaupun kita sudah cuba Nelo Vingada tetapi mungkin beliau sendiri berasakan bahawa dirinya tidak dapat memenuhi potensi pasukan kebangsaan.

“Cheng Hoe memiliki pengalaman yang sangat luas dan kita perlu bagi peluang kepadanya untuk mengemudi skuad Harimau Malaya.

“Pada tahun hadapan kita akan berdepan dengan beberapa perlawanan penting untuk dia buktikan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan 100PLUS bersama Bandar Sukan Kuala Lumpur di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Sebagai rekod, Vin­­gada yang ter­kenal dengan jolokan ‘The Professor’ telah mele­takkan jawatan pada 6 Disember lalu selepas gagal membantu skuad Harimau Malaya me­raih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan antarabangsa.




Menurut jurulatih kelahiran Portugal itu, keputusan tersebut telah diterima Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sambil menyifatkan ia diambil atas tanggungjawab dengan apa yang berlaku terhadap prestasi pasukan kebangsaan ketika ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Vingada atas sumbangan beliau. Dia pun datang pada masa yang sa­ngat mencabar kerana terpaksa berhadapan dengan perlawanan yang sukar,” tambah Khairy.