Tan Cheng Hoe Pilihan Yang Tepat – Vingada

BEKAS pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada yakin penggantinya, Tan Cheng Hoe mampu menggalas tugas membimbing Harimau Malaya mencatat kejayaan pada masa depan.



Dia yang melepaskan jawatan pada 6 Disember lalu percaya Cheng Hoe tidak berdepan banyak masalah menguruskan skuad terbabit berdasarkan pengetahuan luas mengenai bola sepak Malaysia.

“Selepas meninggalkan Malaysia, saya tidak boleh memberi banyak komen dalam apa-apa isu. Apa pun saya ucapkan selamat maju jaya kepada Tan (Cheng Hoe) dan pasukan kebangsaan Malaysia.

“Tan adalah jurulatih terbaik dan sangat dikenali di Malaysia. Dia juga adalah kawan yang baik bagi saya dan saya percaya dia mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Vingada yang kini berada di Portugal melepaskan jawatan sebagai jurulatih Harimau Malaya selepas kira-kira tujuh bulan membimbing skuad berkenaan.




Bekas jurulatih skuad kebangsaan Mesir itu berdepan rekod buruk bersama skuad kebangsaan selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan selain tersingkir pada saingan kelayakan Piala Asia 2019.

Selepas peletakan jawatan Vingada, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menaikkan pangkat Cheng daripada penolong jurulatih kepada ketua jurulatih pada 7 Disember lalu.

Menyedari tugas berat yang bakal dipikulnya, Cheng Hoe yang pernah mengecapi kejayaan bersama Kedah dalam kancah bola sepak tempatan tetap yakin beliau mampu memberikan hasil terbaik buat skuad Harimau Malaya.

“Tujuan utama saya adalah untuk membantu pasukan negara mendapatkan hasil terbaik untuk masa akan datang,” kata Cheng Hoe seperti dilaporkan.