KFA belum bincang pengganti pengurus Lang Merah

Image result for kedah kfa jeffrey

ALOR SETAR 15 Dis. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung pengganti Pengurus Lang Merah, Datuk Jeffrey Low yang menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan kerana ingin menumpukan perhatian terhadap keluarga dan perniagaan.

Ia sekali gus menafikan khabar angin yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini bahawa Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin antara disebut-sebut sebagai pengganti pengurus itu.



Presiden KFA yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau menghormati keputusan Jeffrey yang ingin mengundurkan diri namun keputusan berkenaan hanya akan dimuktamadkan di peringkat pengurusan KFA kelak.

“Viral (Tular) itu tidak boleh pakai, ada yang tuduh Datuk Shaiful nak jadi pengurus, kenapa tidak kata Ahmad Bashah saja nak jadi pengurus. Setakat ini tidak ada perbincangan apa pun tentang pengganti Jeffrey.

“Kita akan bincangkan kemudian, malah KFA belum pun menerima surat rasmi peletakan jawatan Jeffrey, cuma baru-baru ini beliau bertemu saya dan menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri, saya suruh beliau pulang, timbangkan semula.

“Apa pun jika beliau benar ingin mengundurkan diri kita hormati keputusan beliau yang nak tumpukan perhatian dengan keluarga dan perniagaan,” katanya di sini hari ini.




Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kempen Kesedaran Kesihatan Wanita di Taman Seri Indah di sini hari ini.

Pada masa yang sama beliau turut meluangkan masa bersarapan dengan penduduk di Pusat Daerah Mengundi Kampung Batin itu.

Ahmad Bashah mengulas tentang khabar angin yang tular di media sosial sejak semalam bahawa Shaiful Hazizy adalah antara calon yang disebut sebagai pengganti Jeffrey.

Kata Ahmad Bashah, KFA berharap pihak yang menyebarkan khabar angin seperti itu bersikap lebih matang dan memberi kepercayaan kepada pengurusannya untuk mengemudi pasukan Lang Merah itu.

“KFA akan tengok dan buat yang terbaik,” katanya.-UTUSAN