Maciel masih nantikan Shahrom Kalam

Image result for Shahrom Kalam

JURULATIH Kuala Lumpur, Fabio Maciel masih menaruh harapan agar pemain pertahanan, Shahrom Kalam menjadi milik mereka bagi melengkapkan pasukan itu menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Menurut Maciel, walaupun Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sudah mengadakan majlis menandatangani kontrak serta mengumumkan senarai 24 pemain baru-baru ini namun pintu pasukan itu masih terbuka untuk Shahrom.



“Senarai yang diumumkan itu belum lengkap, masih ada slot perlu diisi. Jadi, Shahrom masih berada dalam senarai pemain yang saya mahukan.

“Saya tidak tahu sejauh mana perkembangan rundingan antara KLFA dengan Shahrom kerana tidak mahu mengganggu tugas mereka.

“Tanggungjawab saya sebagai jurulatih adalah menyenaraikan pemain yang saya mahukan, selebihnya saya serahkan kepada persatuan untuk menguruskannya.

“Saya berharap ada keputusan positif daripada Shahrom kerana saya memang mengharapkan kedatangannya. Masih belum terlambat untuknya menyertai pasukan walaupun sudah dua minggu kami menjalani latihan,” ujar Maciel.




Maciel berkata meskipun sudah mendapatkan khidmat bekas pemain pertahanan berpengalaman Pahang, Saiful Nizam Miswan namun beliau masih memerlukan seorang tonggak untuk mengemudi benteng.

Jurulatih berkenaan sebelum ini pernah memberitahu mengidam khidmat tiga bintang tempatan untuk mengukuhkan cabaran skuad warga kota itu.

Selain Shahrom, Maciel menamakan Zaquan Adha Abd Radzak dan Brendan Gan sebagai pemain yang berada pada senarai teratas. Kuala Lumpur berjaya mendapatkan khidmat Zaquan namun gagal memikat Brendan yang memilih untuk menyertai Perak.

Selain Shahrom, Maciel juga kini menanti kedatangan seorang pemain Indonesia untuk melengkapkan kuota pemain import. Menurut sumber pemain berkenaan adalah Achmad Jufriyanto dari kelab Persib Bandung.