Nantikan kebangkitan Arsenal – Arsene Wenger

LONDON: Arsene Wenger percaya kemenangan 1-0 Arsenal ke atas Newcastle dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam melonjak keyakinan skuad kendaliannya bagi mengharungi jadual padat musim Krismas.

Selepas menyaksikan Gunners menamatkan kemarau deretan tiga aksi tanpa kemenangan menerusi jaringan menakjubkan Mesut Ozil di Emirates, pengurus itu berkata dia tidak lagi bimbang terhadap potensi kekurangan stamina.



“Kamu dapat melihat kami mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh enam hari dan perlawanan ketiga lebih mencabar fizikal,” kata Wenger.

“Tiada pasukan lain yang perlu bermain pada Ahad, Rabu dan Sabtu tetapi saya fikir kami mendapat banyak peluang untuk menjaringkan lebih gol.

“Jika kamu melihat sejarahnya, ia berlaku setiap tahun tahun dengan penyudah agak sibuk. Kadang kala kamu akan menjaringkan tiga atau empat gol, menyempurnakan setiap peluang dan kadang kala kamu memperoleh enam ke tujuh peluang tetapi hanya menjaringkan satu gol.

“Saya tahu mereka tidak gembira tetapi ia adalah sebahagian daripada permainan dan kamu perlu menghadapinya.”

Prestasi semasa Ozil mencetus pujian menggunung daripada Wenger tetapi turut terdesak bagi memastikan bintang Jerman itu untuk tidak meninggalkan kelab pada Januari atau pada perpindahan musim panas depan selepas kontraknya di Emirates berakhir.




“Ia penyudah yang menakjubkan. Dia boleh melakukannya.Adalah penting untuknya mengambil risiko untuk membuat apa yang dilakukannya,” kata Wenger.

“Kebiasaannya, dia adalah lelaki yang, 99 peratus di setiap masa di posisinya dan mengawal bola sebelum memberinya kepada orang lain, jadi saya gembira dia mengambil risiko dan juga gembira dia menjaringkan gol yang amat penting.

“Saya yakin dia akan kekal di sini tetapi apakah maksudnya? Saya tidak tahu.” – AFP