Skuad Pelapis Harimau Malaya Pengubat Duka

CERITA mengenai bola sepak negara tidak pernah ‘diam’ bagi peminat-peninat bola sepak tanah air.



Rata-rata berpendapat saban tahun prestasi keseluruhan bola sepak negara masih berada di takuk lama, lebih-lebih lagi bagi skuad senior, Harimau Malaya.

Bukan menidakkan kebenaran semasa, hakikatnya secara halus kita sudah melihat perkembangan positif daripada sistem pembangunan bola sepak tempatan. Mungkin bukan seratus peratus, tetapi sekurang-kurangnya sudah ada.

Peralihan kuasa pengurusan badan tertinggi bola sepak tanah air, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipimpin Tunku Muda Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak April lalu telah mengubah landskap baharu daripada semua sudut.

Ada sesetengah pihak yang enggan menerima perubahan era baharu ini, terutamanya mereka yang taksub melihat coretan ‘keypad warrior’ atau  terlalu sibuk mencari kesilapan setiap langkah.

Lupakan isu skuad senior yang masih terhuyung hayang dalam mencari secebis kejayaan kerana tempuh sentuhan pengurusan baharu masih lagi dalam ‘try and error’.




Perlu diingat bahawa kita mempunyai banyak lapisan skuad muda kebangsaan yang mempunyai masa depan cerah sekaligus bakal bergelar pemain senior dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Tahun 2017 bakal dilabuh tirainya dengan aura gembira kepada seluruh peminat bola sepak tanah air.

Ini kerana tiga pasukan muda negara bakal berentap di pentas Piala Asia 2018.

Bermula dengan skuad Bawah 22 Tahun yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee layak ke final Kejohanan Piala Asia Bawah 23 Tahun di China, Januari ini.

Mereka merakam kejutan apabila layak secara merit ke pusingan akhir Kejohanan AFC tahun depan selepas muncul juara saingan kelayakan di Bangkok, Julai lalu.

Berita gembira itu tidak berhenti di situ sahaja memandangkan skuad Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia (PPBN) yang dibimbing Pengarah Program, Lim Teong Kim menempah slot akhir Piala Asia Bawah 16 Tahun layak secara automatik selaku tuan rumah, juga pada bulan depan.




Manakala pasukan Bawah 19 Tahun negara, kendalian Bojan Hodak disahkan layak ke pentas akhir pada Oktober-November tahun depan selepas menjadi lima pasukan terbaik selaku naib juara pada saingan kelayakan di Korea Selatan bulan lalu.

Kejayaan ketiga-tiga pasukan muda ini perlu dilihat sebagai penanda aras bahawa bola sepak negara menuju ke tahap yang lebih baik daripada sebelum ini.

Sebagai peminat tegar bola sepak tanah air, hentikan sikap mencari kesalahan, luangkan masa berkongsi idea positif dan terus memberi sokongan kepada skuad negara.

Skuad negara sentiasa memerlukan ‘pemain ke-12’ mereka.

Selamat Tahun Baru 2018!

Senarai penuh pasukan Malaysia ke Piala Asia 2018:

Bawah 23 Tahun – Ketua Jurulatih – Datuk Ong Kim Swee

Bawah 19 Tahun – Ketua Jurulatih – Bojan HodakBawah 16 Tahun – Ketua Jurulatih – Lim Teong Kim