VIDEO Gol Suarez, Paulinho julang Barcelona

MADRID: Barcelona melebarkan jurang kepada 11 mata dengan seteru utama Real Madrid menjelang aksi Clasico, Sabtu ini dengan Luis Suarez dan Paulinho masing-masing cemerlang meledak dua gol ketika pendahulu La Liga itu membelasah Deportivo la Coruna 4-0, awal pagi tadi.

Lionel Messi pula tidak bernasib baik untuk meletakkan namanya selaku penjaring apabila sepakan penaltinya diselamatkan dengan tiga cubaannya menggegar palang.

Kemenangan menyaksikan Barca mengekalkan kelebihan enam mata di depan pasukan tangga kedua, Atletico Madrid.



Real kekal di tangga keempat tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan selepas tidak beraksi dalam aksi domestik bagi mengharungi kempen Piala Dunia Kelab yang dimenangi mereka di Abu Dhabi, semalam.

“Saya tahu orang melihat perbezaan di antara kami dan Real Madrid tetapi Atletico hanya enam mata di belakang kami,” kata bos Barca, Ernesto Valverde.

“Tidak apa yang berlaku pada Sabtu, perjalanan dalam La Liga masih lagi jauh.”

Kali terakhir Barca dan Real bertembung adalah pada saingan Piala Super Sepanyol, Ogos lalu yang dimenangi Real di Santiago Bernabeu.

Dan ironinya ia adalah kekalahan terakhir gergasi Catalan itu sebelum mengharung 24 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan pada musim ini.

Sekali pun tidak menjaringkan gol, Messi yang menggegar palang sebanyak 14 kali musim ini memainkan peranan penting untuk tiga daripada empat gol yang dijaringkan Barca.

Selepas melakukan beberapa aksi menyelamat, penjaga gol Deportivo Ruben Martinez akhirnya tewas apabila Suarez membuka tirai jaringan pada minit ke-29 berpunca gerakan Messi.




Messi sekali lagi menjadi perancang bagi gol kedua selepas rembatannya menggegar palang tetapi berjaya disambar Paulinho untuk gol kedua Barca pada minit ke-41.

Beberapa minit kemudian, Suarez berfikir dia sudah menjaringkan gol ketiga Barca tetapi ketiadaan Video Bantuan Pengadil (VAR) menggagalkan usahanya sebelum meledak gol kedua peribadi dua minit selepas babak kedua bersambung, juga berpunca daripada rembatan Messi yang terlebih dulu menggegar palang.

“Saya dapat melihat dengan jelas dari kedudukan saya selepas rembatan kerana saya betul-betul berada di garisan gol,” kata Suarez dengan gol terakhir Barca dijaringkan Poulinho pada minit ke-75. – AFP.