Perak belum muktamadkan stadium rasmi pasukan

Perak belum muktamadkan venue

SKUAD Liga Super Perak masih belum memuktamadkan stadium yang bakal digunakan sebagai gelanggang rasmi sebagai ruan rumah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M), 2018, kelak.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, setakat ini tiga stadium melibatkan Stadium Perak, Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Stadium TLDM di Lumut sedang dalam proses pengubahsuaian dan penambahbaikan.



Bagaimanapun menurut Abdul Puhat, sekiranya padang di Stadium Perak sudah boleh digunakan, skuad The Bos Gaurus bakal beraksi di gelanggan berkenaan manakala Stadium MPM, TLDM pula pasukan seperti PKNP FC, Piala Presiden, Piala Belia boleh guna.

“Sebenarnya kita ada tiga padang, di Ipoh kita ada Stadium Perak. Tidak ada masalah sebenarnya, cuma kita nak tukar trek dan dan dijangka siap Mac depan, isu rumput tak timbul kerana kita juga menunggu pengiktirafan daripada Majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk trek yang kita buat.




“Manakala Stadium Manjung pula dalam proses pengubahsuaian dan dijangka siap Februari depan. Kita juga mungkin akan tanam rumput baharu.

“Kita juga standby untuk Stadium TLDM, cuma hanya ada beberapa perkara kecil yang perlu kita selesaikan, tambah lampu dan sebagainya,” katanya.

Lakaran awal wajah ‘baharu’ Stadium Perak.

Sementara itu Abdul Puhat berkata, skuad Kejor Yeop Skor itu akan mengadakan majlis pelancaran jersi, memperkenalkan pemain termasuk penaja dijangka akan dibuat pada minggu keempat Januari 2018, kelak.

“Dengan izin ALLAH, kita akan adakan majlis itu pada Januari kerana saingan Liga M dijadualkan berlangsung pada Februari,” katanya. – Sinar Harian