Pahang enggan buat rayuan hukuman FAM

KUANTAN – Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menerusi satu kenyataan hari ini menegaskan pihak mereka tidak akan membuat sebarang rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman yang diputuskan Rabu lalu.



PBNP menerusi satu kenyataan berkata, keputusan untuk enggan membuat rayuan itu dibuat berdasarkan keyakinan persatuan itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

“PBNP tidak akan sama sekali mengemukakan rayuan. Kami berpegang kepada keyakinan bahawa PBNP tidak melakukan sebarang kesalahan,” tegas kenyataan itu.




Menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM kali keempat bagi penggal 2017-2021 yang diadakan semalam, organisasi induk bola sepak kebangsaan itu memutuskan PBNP melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana enggan atau gagal mendaftar pasukan Pahang beraksi dalam kempen Piala AFC 2018 walaupun telah diarahkan berbuat demikian.

Disebabkan alasan tersebut, FAM memutuskan PBNP dilarang memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun bagi musim 2018 dan 2019 untuk menyertai saingan AFC untuk musim 2019 dan 2020.

Selain itu, FAM turut menawarkan peluang kepada Pahang untuk membuat rayuan serta memberi amaran keras melibatkan hukuman lebih berat sekiranya PBNP mengulangi kesalahan sama. – K! ONLINE