Ada tidak kena dengan ABK 2017 – Khairy
KUALA LUMPUR 23 Dis. – Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 yang berlangsung semalam dilihat seperti ada sesuatu yang tidak kena berhubung keputusan pemilihan pemenang malah perkara itu juga disedari oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
“Ada sesuatu yang tidak berapa kena apabila anugerah bola sepak negara langsung tidak memberi sebarang penghargaan kepada pasukan tempatan yang paling berjaya.
“Kecemerlangan tidak dihargai, dikecam dan dicemburui.
“Kalau begitulah sikap kita, selama-lamanya kita menjadi negara kelas ketiga, anti-kecemerlangan, berhasad dengki dan berhati hitam,” katanya kepada Mingguan Malaysia, hari ini.
Semalam, Kedah yang meraih kejuaraan Sumbangsih dan Piala FA musim ini mendominasi ABK apabila dipilih memenangi sembilan daripada 22 anugerah ditawarkan.
Sementara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah meraih gelaran Liga Super dan Piala Malaysia 2017 hanya dipilih memenangi dua gelaran sahaja.
Dua anugerah dimenangi atas nama JDT itu ialah Pemain Muda Harapan menerusi Adam Nor Azlin dan bekas pemain skuad Harimau Selatan, Mohamad Ghadar yang dipilih sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super (import).
Pada tahun ini JDT muncul sebagai wakil tunggal Malaysia yang berjaya melepasi aksi peringkat kumpulan Piala AFC 2017. – Utusan