Ka­vishkumar sah milik kelab Tokai FC

3fcb2a79-39ea-4b34-b249-77dc2ff4271d

NAMPAK gayanya, legasi Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim berguru di bumi Jepun diteruskan M. Ka­vishkumar selepas penyerang muda itu secara rasmi sah menyertai Tokai FC dengan mengikat perjanjian setahun bersama kelab Liga Prefektur Jepun (JPL) itu.



Wan Zack dan Nazirul Naim masing-masing pernah me­nyarungkan jersi FC Ryukyu pada 2013 dan Kavishkumar yang lebih mesra disapa Kumar juga tidak mahu melepaskan peluang tersebut untuk menempah nama bersama pasukan yang berpangkalan di Nagoya itu.

JPL berdiri di atas status semi-pro dan dibahagikan kepada dua divisyen iaitu Liga Bola Sepak Nagoya (NFL) serta Liga Bola Sepak Aichi (AFL) yang mana Tokai FC bakal membuat debut profesional pertama di NFL yang akan membuka tirai pada Mac tahun depan.

Tanpa berselindung, Kumar, 20, mendedahkan dia mahu mencari sesuatu yang berharga di Jepun biarpun menyedari berdepan pelbagai rintangan sukar antaranya masalah komunikasi, budaya serta pemakanan.

“Saya sangat gembira kerana dapat menyertai Tokai FC dan ini adalah satu pengalaman baharu. Sejujurnya, rasa berdebar tetapi pada masa sama saya teruja untuk membuka buku baharu dalam karier saya.

“Tujuan saya ke sini bukan untuk makan angin sebaliknya mahu bermain sama standard seperti pemain-pemain Jepun. Biarpun JPL adalah liga bawahan dari Liga Jepun (J-League) tetapi tahap permainan mereka di sini berada di kelas tersendiri.




“Saya telah bersedia untuk menghadapi semua cabaran dan sudah pasti saya mahu membantu Tokai FC layak bermain di J-League pada suatu hari nanti kerana Tokai FC menyasarkan mereka akan berada di situ pada tahun 2023. Jadi, segalanya tidak mustahil jika kita berusaha keras, berdisiplin dan ada dedikasi tinggi.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Tokai FC di atas kepercayaan, sikap profesional serta dedikasi mereka untuk mendapatkan khidmat saya. Sudah pasti saya akan membalas kepercayaan itu kepada majikan baharu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Sejak Oktober lalu, Kumar te­lah terbang ke Jepun dengan menyertai siri percubaan dengan beberapa kelab J-League dan JPL antaranya Gamba Osaka dan Nara Club.

Gamba Osaka telah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Victoria Institution dan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) itu tetapi disebabkan beberapa halangan tertentu, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Pun begitu, kegagalan itu tidak menyekat Kumar yang pulang ke ibu negara Khamis lalu apabila dia menegaskan mahu membina namanya di bumi Samurai Biru tersebut.

“Banyak pengalaman pahit manis sejak saya terbang ke Jepun pada Oktober lalu. Di sini tidak kira kelab J-League atau JPL sekali pun, etika profesional mereka benar-benar menakjubkan.




“Agak terkilan tidak dapat menyertai pasukan terkenal se­perti Gamba Osaka tetapi ia tidak bermakna saya tidak boleh me­lakukan sesuatu jika menyertai Tokai FC.

“Saya percaya dengan projek dan misi Tokai FC, saya yakin kelab ini akan mampu melangkah lebih jauh. Apa yang pasti, saya mahu berada lama di sini dan membantu Tokai FC beraksi di J-League suatu hari nanti,” katanya.

Tokai FC merupakan sebuah pasukan yang ditubuhkan pada tahun 1999 di Minami-ku, Nagoya, Jepun.

Sejak penubuhan mereka 18 tahun yang lalu, Tokai FC lebih menumpukan kepada pembangunan bakat-bakat muda seawal umur 7 tahun sehingga 15 tahun dan mereka juga mempunyai sekolah bola sepak sendiri.

Menurut kemaskini rasmi laman web Tokai FC, mereka baru sahaja menubuhkan ‘top team’ untuk bersaingan dalam Aichi Football League mulai musim 2018 dan Kumar merupakan ‘pioneer’ bersama 2 lagi pemain luar Jepun dari Ghana dan Korea Selatan selain dari pemain tempatan.