Jangan biar anak tempatan Sarawak “tua” di kerusi simpanan – Abdul Wahet

“Usah pinggirkan pemain anak tempatan. Mereka perlu diberi pendedahan jika Sarawak mahu memantapkan pembangunan bola sepaknya,” kata Pengarah Kejurulatihan Boal Sepak Sarawak, Abdul Wahet Uji.

Abdul Wahet yang berpengalaman membimbing skuad senior dan peringkat bawah umur Sarawak yakin jika pendedahan diberikan secara berterusan, para pemain tempatan Sarawak akan menjadi pemain yang hebat dan versatil.

“Baik atau buruk, turunkan mereka…biar mereka beraksi dan menimba pengalaman. Mereka perlu mempamerkan kemahiran yang ada terutama bakat-bakat muda.



“Dengan ini baharulah kita dapat membina pasukan yang mantap pada masa depan dan mengembalikan kualiti sebagai pasukan disegani,” katanya ketika diminta mengulas tentang kejatuhan mutu bola sepak Sarawak ketika ini.

Sarawak pada musim akan datang akan beraksi dalam Liga Perdana apabila tersingkir daripada Liga Super pada musim lalu selepas berada di kedudukan kedua tercorot.

Abdul Wahet berkata kejatuhan Sarawak bermula sejak era kejurulatihan Robert Alberts lagi apabila sehingga lapan pemain Semenanjung dan Sabah dibawa masuk.

“Begitu juga pada masa Datuk K Rajagobal. Peluang kepada pemain tempatan seolah-olah tertutup rapat. Kebanyakan mereka ‘tua’ di kerusi simpanan,” katanya.

Apabila David Usop mewarisi situasi ini, katanya, beliau berada dalam keadaan yang amat sukar.

“Kami mula menggerakkan kempen anak tempatan pada musim lalu, dan peluang mula diberikan kepada pemain-pemain muda yang berbakat. Namun pengalaman membataskan mereka dan akibatnya pasukan menjadi kurang mantap sehingga tersadai ke liga bawah,” katanya.

Jelas Abdul Wahet, inilah petanda kejatuhan bola sepak Sarawak apabila pasukan segan untuk menikmati kemenangan.

“Jatuh yang berpunca daripada diri kita sendiri yang tidak percaya kepada bakat tempatan. Dan kita lihat sekarang….apabila bakat-bakat muda kita diberi peluang untuk beraksi sebagai pemain sepenuh masa, bukan pemain simpanan, mereka telah membuktikan kewibawaan.

“Akibatnya, empat bakat muda yang menjadi sandaran utama kita telah dipikat pasukan luar. Kita kehilangan mereka kerana ketika kantung persatuan nipis, mereka menerima tawaran berkali-kali ganda.

Sebagai jurulatih, Abdul Wahet berang dengan situasi sebegitu.





“Namun kami terpaksa menerima dan melihat hakikat ini secara profesional. Mereka telah membuktikan bakat dan kemahiran mereka dan di luar sana harga mereka melambung tinggi.

“Secara positifnya, kami harus menyokong mereka. Malah, ia membuktikan bahawa kami telah berjaya melahirkan pemain-pemain berkualiti yang digeruni pasukan luar,” katanya lagi.

Tambahnya, penting untuk bakat-bakat yang berada dalam kem Sarawak termasuk di peringkat junior diberi peluang menunjukkan kemampuan dan kebolehan mereka pada setiap perlawanan.

“Kalau hendak dedahkan, dedahkan mereka sekarang. Jangan letakkan sasaran untuk kembali ke Liga Super dahulu.

“Biarpun bukan sepenuh masa namun pengalaman yang diperoleh membolehkan mereka meningkatkan keyakinan diri dan berlari lebih jauh dalam sukan ini.

“Lambat laun, ini juga boleh membantu menaikkan kembali prestasi dan mutu bola sepak Sarawak pada masa depan, yang kini dipandang sepi oleh peminat,” katanya lagi. – stadiumastro