Jose Mourinho terdesak dapatkan Griezmann

Antoine Griezmann

MANCHESTER 1 Jan. – Jose Mourinho bersedia untuk membawa masuk pemain di jentera serangan dan pengurus itu berhajat melancarkan bidaan ke atas Antoine Griezmann dalam usahanya menyelamatkan musim Manchester United.

Mourinho kini mendesak pengurusan tertinggi United melancarkan bidaan yang memenuhi klausa pelepasan bernilai 86 juta pound (RM471 juta) yang tercatat di dalam kontrak penyerang Perancis itu bersama Atletico Madrid pada jendela perpindahan Januari, berbanding menunggu hingga musim panas akan datang.



Dia mahukan khidmat Griezmann sejak musim panas lalu sebelum pemain itu memutuskan untuk kekal di Sepanyol, tetapi Mourinho bersedia untuk mencuba sekali lagi dalam usahanya meningkatkan kembali momentum United yang kian merosot ekoran kecederaan Romelu Lukaku dan Zlatan Ibrahimovic.

Mourinho membuat pengakuan pada Jumaat lalu bahawa United bersedia untuk berbelanja besar ke atas seorang pemain pada musim panas ini.

Barcelona juga mahukan Griezmann, tetapi Atletico enggan menjual pemain mereka kepada pesaing dalam La Liga yang dijangka melancarkan bidaan baharu untuk bintang Liverpool, Philippe Coutinho.




Mourinho kini berdepan pelbagai masalah dengan yang terbaharu Ashley Young digantung tiga perlawanan selepas pemain itu didakwa melakukan kekasaran apabila menyiku Dusan Tadic ketika seri tanpa jaringan dengan Southampton semalam.

Pengadil, Craig Pawson terlepas pandang insiden itu, tetapi perbuatan tersebut berada di dalam rakaman video.

Mourinho tidak gembira dengan pengadil selepas keputusan seri di Old Trafford.

“Craig Pawson seorang pengadil yang bagus, dan merupakan salah seorang pengadil berbakat besar di Eropah, malangnya dia gagal mempamerkan kecekapan sebenarnya. Ini menjadi salah satu perkara utama.

“Faktor lain hanyalah gol mudah yang gagal disudahkan kami dengan baik dan kejayaan David De Gea menyelamatkan rembatan jarak jauh Shane Long. Tetapi apa yang cukup jelas, terutamanya ketika keputusan diikat 0-0 ialah sepakan penalti yang gagal dihadiahkan kepada kami,” kata Mourinho. – AGENSI