Ronaldo pantang dengar nama Eden Hazard

Image result for ronaldo and hazard

Apakah yang membuat Cristiano Ronaldo terlalu marah kepada Eden Hazard hingga sanggup menyekat sebarang usaha untuk mendatangkan bintang Chelsea itu ke Real Madrid?



Jawapannya berkisar kepada ‘keceluparan’ pemain antarabangsa Belgium itu sendiri dengan komennya bahawa bintang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi, adalah “pemain terbaik sepanjang zaman”.

Didorong oleh kekalahan 0-3 Real Madrid kepada Barcelona dalam pertembungan El Clasico di Santiago Bernabeu, 23 Disember lalu, Hazard tidak ragu-ragu siapakah pemain yang lebih handal di antara tonggak kedua-dua pasukan berkenaan.

“Messi adalah pemain terbaik dunia ketika ini,” kata Hazard kepada laman rasmi The Blues ketika ditanya mengenai perseteruan di antara Ronaldo dan Messi.

Susulan itu, laman web Sepanyol, Don Balon, mendakwa komen pemain antarabangsa Belgium itu amat tidak disenangi oleh Ronaldo yang mendabik dada bahawa dia adalah pemain terbaik yang pernah dilahirkan.




Bercakap sejurus memenangi anugerah Ballon d’Or buat kali kelima bulan lalu, bintang Portugal itu memberikan analisis terhadap dirinya sendiri: “Saya tidak melihat ada sesiapa yang lebih baik daripada saya. Saya sentiasa berfikiran begitu.

“Tiada pemain bola sepak lain yang melakukan perkara-perkara yang saya sendiri tidak mampu lakukan. Tapi saya melihat diri saya melakukan perkara-perkara yang pemain lain tidak mampu lakukan.

“Tiada pemain lain yang lebih lengkap daripada saya. Saya bermain dengan kedua-dua kaki (Messi terkenal sebagai pemain kidal). Saya pantas, bertenaga, bagus dengan tandukan, saya menjaringkan gol-gol dan membuat bantuan jaringan.

“Orang ramai berhak memilih Neymar atau Messi. Tapi saya mahu tegaskan tiada pemain lain yang lebih lengkap daripada saya.

“Anda boleh mengatakan saya kini besar kepala. Tapi apabila anda berada di puncak, adalah normal untuk anda dikritik. Saya adalah pemain terbaik dalam sejarah, kedua-dua dalam saat senang dan susah,” hujahnya.

Menurut Don Balon, Ronaldo tidak akan mudah memaafkan Hazard kerana komennya itu.




Dan ia mungkin mendatangkan risiko kepada usaha Real Madrid untuk membawa Hazard ke Santiago Bernabeu.

Malah, Ronaldo dikhabarkan sudah memberitahu kelabnya untuk membeli mana-mana pemain asalkan bukan Hazard.

Pengurus Real, Zinedine Zidane – dengan restu presiden kelab, Florentino Perez – mahu segera mendapatkan pemain Chelsea itu sebagai langkah segera bagi menyelamatkan musim mereka dalam LaLiga.

Namun, dalam menjaga hati Ronaldo, mereka mungkin terpaksa mengalihkan pandangan kepada pemain lain.

Atau, kedua-dua Perez dan Zidane, harus merelakan penyerang kesayangan mereka itu yang sudah memenangi lima anugerah Ballon d’Or dalam jersi Real Madrid, membawa diri menyertai pasukan lain.