Nike bakal disaman isu Coutinho

LONDON – Laporan media-media Brazil yang disiarkan menerusi ESPN melaporkan bahawa Liver­pool dijangka mengambil tindakan undang-undang terhadap pengeluar peralatan sukan gergasi, Nike kerana memuatkan status iklan bintang sensasi The Reds, Philippe Coutinho seolah-olah sudah sah berhijrah ke Barcelona sebelum jendela perpindahan pemain dibuka kelmarin.



Disebabkan status iklan tersebut, difahamkan Liverpool bakal menuntut amaun yuran perpindahan luar biasa untuk menjual Coutinho ekoran kesilapan Nike bahkan The Reds dipercayai mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun sehingga kini, belum ada sebarang reaksi secara rasmi daripada kelab mahupun Nike berhubung isu Coutinho, namun pengurus The Reds, Jurgen Klopp yang diminta mengulas situasi tersebut selepas aksi Burnley kelmarin menyatakan beliau langsung tidak ambil pusing.

“Saya ada dengar mengenainya. Namun, saya juga tidak boleh memberitahu kamu mengenainya dan atas alasan-alasan tertentu, saya tidak berminat dengan apa-apa di dunia ini.




“Bagaimanapun, seseorang telah memaklumkan kepada saya dan saya fikir ‘wow! Cerita terhebat!’” kata Klopp.

Pada malam Sabtu lalu, Nike dalam laman web iklan jersi Barcelona 2017/2018 memuat naik kapsyen: ‘Philippe Coutinho sedia nyalakan Camp Nou. Dapatkan jersi FC Barcelona yang tertera nama ‘Magician’ di atasnya. Bertindak segera – pemprosesan secara percuma disediakan sehingga 6 ­Januari’.

Tindakan Nike yang tampil mengesahkan spekulasi pembelian Coutinho, 25, menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong-penyokong The Reds yang tidak rela kehilangan perancang tengah berbakat tersebut.




Sebelum ini, Barcelona menawarkan nilai £115 juta (RM626.23 juta) untuk mendapatkan khidmat Coutinho pada Ogos lalu, namun ditolak mentah-mentah oleh Liverpool dan kini, kelab gergasi Sepanyol itu dijangka kembali me­lakukan bidaan pada jendela perpindahan Januari ini.

Jika perpindahan itu berjaya direa­lisasikan, Coutinho dijangka menjadi perpindahan pemain termahal dalam sejarah Liga Perdana England (EPL) apabila Barcelona dilaporkan perlu membayar yuran perpindahan berjumlah £125 juta (RM684 juta). – Agensi