Ronaldo mahu ke United, Chelsea

Image result for Cristiano Ronaldo

Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, bersikap terbuka sama ada untuk menyertai Manchester United atau Chelsea kerana rasa terdesaknya untuk kembali ke England, demikian menurut laporan sepanjang 24 jam lalu.

Real mungkin kehilangan Ronaldo bulan ini, apatah lagi dengan pemain berusia 32 tahun itu semakin berazam dan beriltizam untuk memulakan cabaran baru berjauhan dari Santiago Bernabeu.



Ronaldo jelas semakin tidak gembira di Sepanyol sejak musim panas lalu di mana dia dituduh mengelak daripada membayar cukai oleh pihak berkuasa percukaian negara itu dan disusuli pengakuan terbukanya terhadap hasrat untuk kembali ke England.

Di sebalik terlepas perpindahan pada jendela musim panas lalu, dia masih memendam keinginan meluap-luap untuk mengambil langkah keluar, dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi pilihan nombor satunya.

Laman sesawang bola sepak Sepanyol, Diario Gol, mendakwa Ronaldo sangat berkeinginan menyertai Manchester United atau Chelsea pada kesempatan terawal.

Kedua-dua kelab gergasi Inggeris itu diandaikan mendahului persaingan untuk menandatangani penyerang antarabangsa Portugal itu bulan ini.

Ronaldo tidak menyembunyikan rasa kasihnya terhadap United, di mana dia memenangi tiga kejuaraan liga sebelum membawa diri ke Real Madrid pada musim panas 2009 dengan yuran perpindahan rekod dunia.




Dia hampir-hampir kembali ke sana pada masa lalu – khususnya pada 2013 – tetapi setiap kali itu jugalah dia memperbaharui perjanjian dengan The Galacticos dengan tawaran baru yang lebih lumayan.

Terbaru, Chelsea juga dilaporkan berminat kepadanya.

The Blues mungkin terpaksa menandatangani seorang penyerang baru pada ketika Real Madrid sendiri beriya-iya untuk memikat Eden Hazard keluar dari Stamford Bridge.

Masa depan Willian turut tidak menentu, dengan United juga dikhabarkan berminat mendapatkan pemain tengah Brazil itu.

Dilaporkan secara meluas baru-baru ini bahawa Ronaldo sudah memulakan usaha mencari sebuah rumah di England – antaranya di kawasan Leatherhead di Surrey dan tidak terkecuali sebuah flet di London — di samping meninjau sebuah sekolah Inggeris terbaik di negara itu untuk anak lelakinya yang berusia tujuh tahun, Cristiano Jr.

Dan Diario Gol melaporkan Real bersedia untuk memenuhi permintaannya untuk berpindah asalkan kelab itu mendapat bidaan “yang dirasakan berpatutan”.

Pada masa yang sama, Paris Saint-Germain (PSG) dikatakan turut cuba menghidu-hidu peluang tetapi Ronaldo sendiri lebih teruja dengan prospek untuk menjaja skilnya dalam EPL.

Seperti diungkapkannya mengenai hasratnya beraksi buat tempoh kedua di England, Ogos lalu: “Saya tidak pernah mempunyai masalah (seperti di Sepanyol) ketika di England. Kerana itulah saya ingin kembali ke sana.”




“Saya ke Manchester sebagai seorang pemain berusia 18 tahun dan mereka menasihati saya bahawa sistem (percukaian) mereka adalah yang terbaik, sama seperti yang dinikmati pemain-pemain lain.

“(Sebaliknya) di Sepanyol, mereka memaklumi saya perlu membayar lebih lagi tetapi tidak akan ada sebarang masalah.

“Saya sentiasa membayar apa yang patut saya bayar (dan masih bermasalah),” katanya ketika itu.

Pengurus United, Jose Mourinho, dan naib pengerusi eksekutif kelab itu, Ed Woodward, harus mengalu-alukannya dengan tangan terbuka.

Hujan emas buat Ronaldo di Sepanyol jelas kian berpenghujung.