KAFA terdesak dapatkan penaja utama biayai TRW

KOTA BHARU 4 Jan. – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) semakin terdesak mendapatkan penaja utama bagi membiayai kantung pasukan The Red Warriors (TRW) bagi untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, KAFA mengalu-alukan syarikat-syarikat korporat yang berminat untuk menaja TRW supaya tampil berbuat demikian dengan segera.



“Setakat ini TRW masih belum mempunyai penaja utama yang betul-betul kuat. KAFA sedia menerima tajaan daripada mana-mana pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan kita.

“Untuk makluman, jersi kita akan dibuat dalam dua bentuk (pusingan pertama dan kedua) sekiranya ada penaja baharu nanti. Buat masa sekarang, kita ada penaja-penaja biasa sahaja,” katanya dalam majlis ringkas memperkenalkan pemain import baharu TRW di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Bibi Ramjani mengesahkan TRW melengkapkan senarai barisan pemain import apabila mengikat kontrak dua muka baharu iaitu Bruno Da Silva Lopes dari Brazil dan Ferdinand Sinaga dari Indonesia bagi mengharungi saingan Liga M 2018.




Mengulas kehadiran Lopes dan Sinaga, Bibi Ramjani memberitahu, kedua-dua pemain itu mengikat kontrak selama setahun bersama TRW.

Bagaimanapun, katanya, kontrak Sinaga bersama TRW akan bermula pada 1 Febuari depan dan ketika ini pemain berkenaan sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).

“Kontrak Sinaga bersama PSM Mekasar akan tamat pada 23 Januari ini. KAFA berterima kasih kepada pihak pengurusan PSM Mekasar kerana membenarkan Sinaga menjalani latihan pra musim bersama TRW,” katanya.