Perjalanan hidup George Weah ibarat filem

Image result for George Weah

SEBAGAI pemain bola sepak, George Weah telah meraih pelbagai pengiktirafan seperti memenangi anugerah Ballon d’Or dan muncul Pemain Terbaik Afrika tiga kali, malah dia turut merangkul beberapa trofi bersama kelab yang diwakili.

Selepas menggantung but, semangat Weah untuk berbakti kepada negaranya masih tebal, cuma kali ini dia memilih bidang yang sangat berbeza iaitu politik.



Image result for George Weah

Memenangi 61.5 peratus undi dalam pilihan raya Presiden Liberia memboleh­kan Weah menjadi pemimpin baharu negara Afri­ka Barat itu.

Weah, 51, yang pernah bermain untuk Monaco, Paris Saint-Germain (PSG), AC Milan serta Chelsea ketika zaman kegemilangannya, minggu lalu meraih kemenangan dalam peralihan kuasa yang kali pertama diadakan di Liberia selepas tujuh dekad.

Mempunyai hubu­ngan rapat dengan Arsene Wenger ketika sama-sama berada di Monaco mendorong Weah menjemput pengurus Arsenal itu untuk menghadiri upacara pelantikannya sebagai presiden pada 22 Januari ini, malangnya jadual padat tidak mengizinkan Wenger untuk menyaksikan majlis bersejarah itu.

Wenger adalah orang yang bertanggungjawab membawa masuk Weah ke Monaco pada 1988 ketika menjadi pengurus kelab Perancis itu, malah bakat penyerang tersebut berkembang di bawah bimbingannya hingga membolehkan dia dipilih sebagai Pemain Terbaik Afrika 1989.





Related image

Selepas menyertai PSG pada 1992, Weah mengukuhkan kedudukan sebagai penyerang digeruni apabila dinobat sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA (Ballon d’Or) 1995, selain muncul Pemain Terbaik Afrika 1994 dan 1995.

Bercerita tentang Weah, Wenger berkata, andai kisah hidup pemain itu mahu difilemkan, ia pasti akan menjadi sebuah filem yang sangat hebat.

“Apabila anda melihat kehidupannya, saya fikir hidup lelaki ini bagaikan sebuah filem sebenar, ia sukar dipercayai. Anda boleh membuat sebuah filem hebat.

“Saya masih ingat kali pertama melihatnya di Monaco, dia bagaikan hilang arah, tidak mengenali sesiapa, tidak disanjung oleh sesiapa dan selepas itu pada 1995, dia menjadi pemain terbaik dunia.

Image result for George Weah

“Kini dia adalah presiden negaranya, ia satu kisah yang sukar dipercayai, namun satu sikap George yang tidak boleh diubah, dia memiliki mental yang kuat dan sentiasa yakin bahawa dia mempunyai misi dalam hidup­nya,” cerita Wenger.

Weah memulakan kariernya bersama beberapa kelab tempatan Young Survivors, Mighty Barrolle dan Invincible Eleven, yang mana dia telah meledak 24 gol daripada 23 perlawanan.

Kehebatannya memboleh­kan dia berhijrah ke Monaco dan PSG, sebelum menyertai AC Milan, di mana dia berdepan pengalaman pa­ling menguji serta penuh kontroversi.

Image result for George Weah

Pada 1996, iaitu tahun yang sama dia menjaringkan gol sensasi ke atas Verona dari jarak 90 ela, Weah mematahkan hidung pertahanan Portugal, Jorge Costa selepas mendakwa dia diserang dengan isu perkauman.

Dia kemudian menjinakkan diri dengan politik pada 2005 selepas bersara daripada bola sepak, sebelum mengumumkan hasrat bertanding sebagai Presiden Liberia dan membentuk Pakatan Perubahan Demokratik tetapi berdepan pembangkang yang kejam.

Pengkritik mengejeknya kerana tidak mempunyai pendidikan formal dan membandingkannya de­ngan pesaingnya yang mendapat pendidikan di Harvard, Ellen Johnson Sirleaf, selain menggelarnya sebagai ‘Babe in the Woods’ kerana pengalaman politik yang cetek.

Tarikh lahir:1 Oktober 1966

Tempat lahir:Monrovia, Liberia

Pekerjaan terdahulu:Pemain bola sepak (penyerang)

Pekerjaan sekarang:Presiden Liberia

Pendidikan:Ijazah Pengurusan Perniagaan, Universiti DeVry, Miami

Isteri: Clar Weah

Anak: Timothy Weah,George Weah Jr

Pencapaian utama

Ligue 1 1993/1994 (PSG)

Serie A 1995/1996,1998/1999 (AC Milan)

Piala FA 1999/2000 (Chelsea)

Pengiktirafan individu

Ballon d’Or 1995, Pemain Terbaik FIFA 1995, Pemain Terbaik Afrika 1989, 1994, 1995 dan Penjaring Terbanyak Liga Juara-Juara 1994/1995.