Kedah cari marshal badan ‘sado’, tahan maki

SERAMAI 20 marshal berbadan tegap dicari oleh Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk Persatuan bolasepak Kedah (KFA) untuk kawalan di pintu masuk dan memantau keadaan Stadium Darul Aman bagi saingan Liga Malaysia musim 2018.




Pengerusinya, Shaharol Niza Omar berkata, berdasarkan maklumbalas dan ‘post-mortem’ bagi musim 2017, pihaknya perlu mencari marshal yang mampu mengawal penonton dengan lebih baik terutamanya membabitkan perlawanan yang mempunyai jumlah kehadiran yang tinggi.

Menurutnya, ada marshal gagal menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik dan situasi tersebut akan dipantau dengan lebih teliti pada musim ini.

“Apabila ada marshal yang badan ‘sado’, penyokong mungkin akan berfikir dua kali untuk membuat sebarang kekecohan. Malah kami juga memerlukan mereka yang kental dari sudut mental iaitu ada kesabaran tinggi dalam menjalankan tugas melayan kerenah puluh ribu penyokong.





Malah khidmat mereka juga diperlukan semasa urusan di dalam stadium bagi mengelakkan penyokong berkumpul dan berdiri di hadapan pintu masuk ke dalam stadium untuk ke ruang tempat duduk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Shaharol Niza berkata, Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA turut menyediakan elaun dan kemudahan lain buat semua marshal tersebut.

“Sehingga kini saya sudahpun menerima permohonan namun tapisan perlu dibuat terlebih dahulu kerana hanya yang betul-betul layak sahaja akan dipilih,” katanya. – SH