AFC B-23: Arab Saudi sudah kaji permainan Malaysia
CHANGSHU 8 Jan. – Pengurus Arab Saudi, Naif Al-Qadi menyifatkan Kumpulan C Kejohanan Bawah 23 AFC boleh dianggap sebagai kumpulan maut berbanding kelompok lain.
Arab Saudi akan bertemu Malaysia pada 16 Januari di Kunshan dan bekas pemain skuad Green Falcon itu berkata meskipun Iraq dan Jordan dianggap sebagai lawan yang kuat namun mereka tetap tidak memandang rendah terhadap pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
“Tidak keterlaluan untuk saya mengatakan bahawa Kumpulan C lebih sukar berbanding kumpulan lain. Kami tahu Iraq dan Jordan adalah pasukan yang sukar manakala Malaysia semakin menunjukkan peningkatan.
“Malaysia adalah pasukan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Sudah pasti kami mempunyai sasaran dan diharapkan hasrat kami untuk bergelar juara dapat direalisasikan,” katanya kepada wartawan Malaysia di hotel penginapan hari ini.
Naif yang pernah beraksi bersama Arab Saudi dalam Piala Dunia 2006 berkata mereka juga sudah membuat kajian mengenai Malaysia dan tahu di mana kelebihan dan kekurangan walaupun pertemuan antara kedua-dua pasukan hanya akan berlangsung dalam perlawanan terakhir peringkat awal.
“Alhamdulillah kami layak ke pusingan akhir dan persiapan pasukan berjalan dengan lancar. Kami akan berusaha untuk memberikan aksi terbaik apabila bakal bertemu dengan pasukan yang hebat-hebat.
“Sebelum ke sini pasukan kami telah mengadakan perlawanan persahabatan menentang Oman dan Bahrain, satu menang dan satu kalah.
“Kami sudah membuat ulangkaji dan banyak perkara yang kami tahu mengenai Malaysia namun saya tidak mahu memberitahu anda (media) tentang apa yang kami tahu.
“Saya mahu membantu pasukan saya untuk mengalahkan Malaysia, Jordan dan Iraq. Saya berharap kami menjadi pasukan pertama berjaya menempah tiket ke peringkat suku akhir,” katanya.
Naif juga berkata pasukannya berada dalam keadaan terbaik dan tiada pemain yang menghadapi masalah kecederaan.
Arab Saudi merupakan naib juara pada edisi pertama bagaimanapun nasib tidak menyebelahi mereka pada 2016 apabila gagal melepasi peringkat kumpulan.