AFC B-23: Akhyar Rashid sebagai pemain terbaik untuk aksi kedua

Saya memilih Muhammad Akhyar Rashid sebagai pemain terbaik untuk aksi kedua Skuad B23 negara,menentang Jordan di Stadium Changsu bagi saingan Kejohanan AFC, semalam dan saya yakin anda juga akan bersetuju dengan huraian lanjut dibawah.



Benar, Safawi Rasid adalah wira yang telah menjaringkan gol penyamaan ketika anak buah Datuk Ong Kim Swee ketinggalan 0-1 kepada Jordan tetapi perlu diingat, Akhyar adalah punca Malaysia meraih peluang penalti itu. Malah, kalau mengikut tafsiran mata seorang penonton, saya berpendapat kad merah sepatutnya diberikan kepada pemain Jordan.

Pasti lebih banyak ruang buat pemain negara selepas itu, bukan.

Akhyar berperanan sebagai penyerang pada perlawanan ini dan jelas kelihatan dia antara pemain yang banyak melakukan sentuhan bola, sama ada menjana peluang buat rakan sepasukan mahu pun melancarkan percubaan yang menyentap ketenangan penjaga gawang Jordan.




Malaysia berjaya merekodkan empat cubaan tepat dimana Akhyar terlibat dalam hampir kesemuanya. Satu daripadanya hampir sahaja meletakkan beliau dalam senarai penjaring namun sayangnya terkena tiang.

Ternyata pemain remaja Kedah ini tidak menjadikan status sebagai pemain paling muda menggalas tugasan negara di Kejohanan AFC B-23 kali ini sebagai penghalang untuknya menonjolkan kebolehan.




Bagaimanapun, ada sisi yang perlu diperbaiki oleh Akhyar, antaranya lebih kreatif dalam mencorakkan serangan seperti yang diluahkan sendiri wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang berada di China ketika ini

Tidak semua ilmu boleh diturunkan jurulatih, pengalaman pastinya dapat meningkatkan persembahan Akhyar selepas ini dan mudah-mudahan dia tidak lagi teragak-agak dalam membuat keputusan terbaik untuk memastikan perjalanan Malaysia tidak akan terhenti di peringkat kumpulan sahaja tetapi secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan Skuad B-23 negara yang tampil sebagai satu pasukan yang mantap. – Suzana Basri Astro