AFC B-23: Kim Swee sedia rombak pasukan

KUNSHAN, China 18 Jan. – Datuk Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan akan merombak skuad yang mencipta kejutan ke atas Arab Saudi kelmarin, apatah lagi dengan masalah kecederaan dan kesihatan yang dihadapi beberapa pemain utamanya menjelang perlawanan suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Sabtu ini.

Malaysia mencipta antara kejutan terbesar dalam kejohanan dwitahunan ini apabila menum­paskan naib juara edisi pertama pada 2013 Arab Saudi dengan kemenangan 1-0 dalam perlawanan terakhir mereka di peringkat kumpulan dan akan bertemu satu lagi pasukan pilihan Korea Selatan dalam pusingan lapan pasukan terbaik.



Bagaimanapun, dua hari sebelum bertemu gergasi Asia itu, Kim Swee dilihat perlu mengambil risiko dengan merombak pasukan kerana masalah kecederaan dan kesihatan yang dihadapi skuadnya untuk perlawanan di Stadium Kunshan itu.

Kim Swee sebelum ini menggunakan pemain yang hampir sama bermula daripada menentang Iraq pada 10 Januari lalu hingga bertemu Arab Saudi pada Selasa lalu, malah ada di antara mereka yang bermain sepenuh masa dalam setiap perlawanan.

Berdepan jadual perlawanan yang padat telah menyebabkan tiga daripada pemainnya mengalami kecederaan dan Kim Swee berkata beliau perlu mengenal pasti pemain yang cergas sepenuhnya untuk diturunkan menghadapi Korea Selatan.




“Tidak banyak yang saya dapat lakukan pada hari ini. (Hari ini) lebih kepada pemulihan pemain utama dan pemain gantian. Saya perlu tengok pemain yang perlu digantikan dan hari ini Irfan (Zakaria), Syazwan (Andik) dan Matthew Davies masih belum pulih daripada kecederaan.

“Kita masih ada dua hari lagi untuk membuat persiapan menentang Korea Selatan. Irfan me­ngalami kecederaan paha ma­na­kala Davies betis dan Syaz­wan hamstring.

“Saya perlu melihat kepada ke­adaan sama ada perlu mengubah strategi atau sebaliknya kerana Ko­rea Selatan adalah pasukan yang matang terutamanya dari segi taktikal, teknikal dan fizikal,” katanya ketika ditemui hari ini.




Davies merupakan pemain yang paling banyak membuat lari­an di atas padang sepanjang tiga perlawanan lalu yang berjumlah 36 kilometer. Pemain pertahanan Pahang itu bersama-sama Irfan dan Syazwan tidak menyertai sesi latihan pada hari ini. Selain mereka bertiga, Adam Nor Azlin dan Dominic Tan turut beraksi sepenuh masa dalam tiga perlawanan.

Kim Swee berkata, walaupun mereka mempunyai kelebihan sa­tu hari rehat berbanding Korea Selatan namun situasi tersebut ti­dak banyak memberi kelebihan kepada pasukannya.

“Kita ada satu hari lebih untuk rehat tetapi tidak memberi impak. Saya perlu memastikan pemain kekal fokus sebab kita bukan lagi menentang pasukan dari Asia Ba­rat. Korea Selatan adalah pasukan yang berbeza,” katanya.

Berdasarkan rekod terakhir, per­temuan di antara kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan 1-0 dalam perlawanan persahabatan pada 2010. – UTUSAN