Kelantan terlepas dakap Piala Super Boost SportsFix 2018

Image result for Kelantan 3-4 Ratchaburi FC

Kegagalan Kelantan merekodkan kemenangan ke atas Ratchaburi FC menyaksikan skuad kendalian Sathit Bensoh itu terpaksa akur melepaskan kejuaraan Piala Super Boost SportsFix 2018 kepada Persija Jakarta.



Sekadar memerlukan seri untuk memastikan kejuaraan, Kelantan yang menerima sorakan padu penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, bagaimanapun gagal memperterjemahkan kelebihan itu apabila tunduk 4-3.

Permainan yang dinantikan Persija dan juga Kelantan untuk mengesahkan kejuaraan itu menerusi format liga sepusingan, bermula menarik apabila pada minit ke-11, gol pembukaan dilakar Ratchaburi menerusi pemain import, Kang Soo-il.




Kelebihan itu berjaya dipadamkan Kelantan 10 minit kemudian, juga menerusi pemain dari Korea Selantan, Do Dong-Hyun.

Permainan semakin rancak apabila Ratchaburi menambah gol kedua pada minit ke-36 menerusi penyerang, Narakorn Noomchan-sakul, sebelum Khairul Fahmi Che Mat ditewaskan buat kali ketiga, 10 minit selepas babak kedua bersambung.

Sungguhpun perlu menunggu lebih 20 minit, Kelantan berjaya merapatkan jurang kedudukan kepada 3-2 pada minit ke-75 melalui sentuhan penyudah pemain import, Bruno Lopes.

Penyerang import dari Indonesia, Ferdinand Sinaga, kemudian mengikat kedudukan 3-3, hanya berselang tiga minit.




Bagaimanapun, insiden Khairul Fahmi tertumbuk bola ke gawang sendiri ketika permainan menuju waktu kecederaan menyebabkan The Red Warriors akhirnya berputih mata.

Persija, yang berbekalkan tiga mata daripada kemenangan dalam perlawanan pertamanya ke atas Ratchaburi, sebaliknya tampil juara dengan perbezaan jaringan.