Alexis Sanchez Sah Sertai Red Devils

Alexis Sanchez has signed for Manchester United (Photo by Manchester United/Man Utd via Getty Images)

Alexis Sanchez mendedahkan dia ingin berasa “penting dan disayangi” selepas melengkapkan perpindahannya ke Manchester United dari Arsenal.



Perjanjian pertukaran jangka panjang itu menyaksikan Henrikh Mkhitaryan menuju ke arah bertentangan secara percuma dimuktamadkan awal pagi tadi.

Sanchez menggunakan akaun laman sosial, Instagram,  untuk membidas pengkritiknya sebaik perjanjian itu diumumkan dengan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap bekas pemain Arsenal yang mempersoalkan sikapnya, baru-baru ini.

“Ramai bekas pemain (Arsenal) yang bercakap tanpa mempunyai apa-apa pengetahuan tentang apa yang berlaku di sebalik tabir dan ia menjejaskan.

“Saya sentiasa memberi aksi 100 peratus sehingga hari terakhir saya apabila meminta izin Arsene Wenger untuk diturunkan, ini kerana saya ingin memberikan sumbangan,” menurutnya dalam satu kenyataan.




Dan pemain antarabangsa Chile itu menjelaskan usaha pengurus, Jose Mourinho, untuk membawanya ke United merupakan faktor penting dalam keputusannya untuk menyertai kelab itu.

“Dia menyatakan betapa penting bagi kelab untuk saya berada di sini,” kata Sanchez kepada MUTV. “Saya juga percaya bahawa kelab ini mengambil berat tentang saya dan saya mendapat gambaran bahawa mereka berminat untuk saya datang ke sini dan memakai jersi nombor tujuh.

“Kadang-kadang, pemain juga perlu berasakan bahawa kehadiran mereka penting dan disayangi oleh kelab. Itulah salah satu perkara yang menarik minat saya untuk datang ke sini bersama dengan pengurus yang memenangi segala-galanya di Itali, sama seperti yang dilakukannya di Sepanyol dan dia adalah seorang pengurus yang sukakan kemenangan.”

Bekas pemain Barcelona itu turut teruja akan memakai nombor jersi ikonik itu.

“Apabila mereka memberitahu saya bahawa Cristiano (Ronaldo), (Eric) Cantona, David Beckham pernah menyarungnya, fikiran saya menjurus kepada menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), “katanya lagi.




“Jadi ya, saya memenuhi impian dan saya berharap untuk memperagakan aksi terbaik, seterusnya memenangi banyak trofi di kelab ini.”

Sanchez sebelum ini hangat dikaitkan ke Manchester City yang dikendalikan oleh bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola.

City akhirnya menamatkan minat mereka, Sanchez bagaimanapun berharap dapat mencipta suasana bilik persalinan pada zamannya di Catalonia untuk menawarkan kejayaan kembali ke United.

“Saya percaya bahawa mempunyai suasana kekeluargaan di dalam bilik persalinan amat penting untuk memenangi trofi.

“Saya bermain di Sepanyol dan kami juga mempunyai bilik persalinan yang sangat baik dan saya memenangi trofi. Jadi, pengalaman di dalam bilik persalinan sangat penting untuk mempunyai kumpulan pemain yang sangat baik.

“Saya juga berpendapat bahawa kelab perlu sentiasa memantapkan pasukan dan membawa masuk pemain. Sebab itulah saya ke mari, bekerja keras untuk pasukan dan cuba memenangi segala-galanya dengan mereka.” – stadiumastro