Manchester United kekal kelab paling kaya

LONDON: Manchester United mengatasi Real Madrid untuk kekal sebagai kelab dengan pendapatan terbanyak dunia ketika pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) menampilkan pertambahan kewangan mereka, mengikut laporan “Liga Wang” Deloitte semalam.

Ia kali ke-10 United mengetuai senarai teratas Deloitte dengan pendapatan 2016/17 ialah 676 juta euro (RM3.263 bilion) – hanya 1.7 juta euro (RM8.21 juta) di depan gergasi Sepanyol, Real.



United semalam mengesahkan mereka menandatangani penyerang Chile, Alexis Sanchez dari Arsenal dalam perjanjian yang dijangka akan menjadikannya pemain dibayar paling tinggi di EPL.

Barcelona – sebuah daripada bekas kelab Sanchez – ketiga dalam senarai edisi ke-21 yang dikumpul firma penasihat kewangan British itu, diikuti Bayern Munich, Manchester City dan Arsenal.

Pendapatan keseluruhan untuk 20 kelab teratas Liga Wang pada musim 2016/17 meningkat enam peratus kepada 7.9 bilion euro (RM38.14 bilion), satu rekod baharu.

Kejayaan dalam Liga Europa buat United penting untuk kewangan mereka dengan Real Madrid turut meningkat dengan menang Liga Juara-Juara dan La Liga.




Kelab Inggeris mencipta rekod apabila 10 daripadanya berada dalam kelompok 20 teratas, menjana pendapatan keseluruhan 3.8 bilion euro (RM18.35 bilion), dibantu pendapatan daripada perjanjian hak penyiaran musim pertama EPL kali ini. – AFP

1. (1) Manchester United 676.3 juta euro (RM3.265 bilion)

2. (3) Real Madrid 674.6 juta euro (RM3.256 bilion)

3. (2) Barcelona 648.3 juta euro (RM3.130 bilion)

4. (4) Bayern Munich 587.8 juta euro (RM2.837 bilion)

5. (5) Manchester City 527.7 juta euro (RM2.547 bilion)

6. (7) Arsenal 487.6 juta euro (RM2.354 bilion)

7. (6) Paris Saint-Germain 486.2 juta euro (RM2.347 bilion)

8. (8) Chelsea 428 juta euro (RM2.066 bilion)

9. (9) Liverpool 424.2 juta euro (RM2.048 bilion)

10. (10) Juventus 405.7 juta euro (RM1.958 bilion)

( ) – Kedudukan 2015-2016