Misi Takluk Asia Perlu Bermula Sekarang – Kim Swee

KUALA LUMPUR – Segala usaha dan kerja keras perlu bermula dari sekarang sekiranya Malaysia mahu kembali menakluk pentas bola sepak Asia, kata Datuk Ong Kim Swee.

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun itu juga yakin kesinambungan kejayaan anak buahnya pada kempen Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 diteruskan dalam saingan Piala Asia 2023.



“Kita tidak boleh berhenti setakat di sini sahaja ataupun bersikap berpuas hati. Saya perlu melihat apa jua aspek yang perlu dibaiki.

“Untuk tempoh empat tahun akan datang, sebahagian daripada mereka (pemain) ini mungkin akan menjadi pemain utama dalam skuad senior bagi menghadapi kempen Piala Asia (2023) tetapi untuk memastikan kita berjaya, segala perancangan harus bermula dari sekarang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Selaras dengan hasrat mahu mengangkat kembali martabat bola sepak negara itu, Kim Swee akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membincangkan hala tuju skuad B-23.




“Saya akan menghadap Tunku Presiden FAM untuk berbincang secara terperinci tentang program-program yang akan datang. Selain itu saya turut akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan,” katanya.

Skuad B-23 mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke suku akhir saingan Kejuaraan AFC B-23 selepas menewaskan Arab Saudi dalam perlawanan terakhir kumpulan C untuk berdepan Korea Selatan.

Namun, skuad negara tewas tipis 1-2 dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu lepas di Stadium Kunshan, China.

Kim Swee yang kembali membimbing skuad B-23 pada Mac tahun lepas tidak mahu tenggelam dengan pujian daripada orang ramai ekoran kejayaan anak buahnya, sebaliknya mengakui skuad bimbingannya masih mempunyai kelemahan dan ruang yang perlu diperbaiki pada masa depan.




Pada masa sama, Kim Swee menegaskan pencapaian yang diraih oleh barisan pemainnya itu tidak menjadikan mereka sebagai pemain terbaik pada ketika ini.

“Kita masih mempunyai ramai pemain berumur 23 tahun ke atas yang berkualiti dan kita tidak boleh mengetepikan mereka macam itu sahaja. Walaupun skuad B-23 menunjukkan persembahan yang baik tetapi masih banyak lagi yang perlu kita perbaiki,” katanya. – BERNAMA