Lapan pilihan ke skuad Harimau Malaya

 Lapan pilihan saya ke skuad Harimau Malaya 

Meskipun cabaran skuad bawah 23 tahun negara dalam Kejohanan AFC B-23 di China sudah berakhir, peminat bola sepak tanahair nampaknya belum dapat ‘move on’ dengan kejayaan anak buah Datuk Ong Kim Swee di kejohanan itu.



Ini termasuklah penulis yang masih tidak dapat melupakan aksi-aksi pemain negara di China memandangkan penulis turut berada di sana untuk membawa perkembangan pasukan dalam kejohanan itu.

Baik, kali ini penulis ingin berkongsi mengenai lapan pemain pilihan penulis, bukan sahaja diserap malah berpotensi menjadi tonggak utama skuad kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe.

Pertama, Safawi Rasid.

Sudah mewakili skuad senior pada usia 19 tahun, Safawi muncul penyumbang utama jaringan skuad negara di China dengan dua gol. Dia punyai penyudah berbisa, namun paling mustahak, keyakinan dan keberaniannya di atas padang menerusi gerakan dan percubaan ke kubu lawan.

Kedua, Akhyar Rashid.

‘Neymar Malaysia’. Gelaran itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa hebatnya si Akhyar ni yang juga adik kepada bekas pemain Kedah, Rafdi Rashid. Kelincahan jelas menjadi senjata utamanya terutama menghampiri kotak penalti yang kerap memeningkan pihak lawan.

Ketiga, Danial Amier Norhisham.

Walaupun nama panggilannya agak manja, tetapi permainannya garang sekali. Boy, perancang tengah berusia 21 tahun ini menyerlah di bumi China dengan kelebihan melakukan hantaran ke depan dan sekali rembatannya mampu menjadi pemusnah.

Keempat, Irfan Zakaria.

Asalnya merupakan pemain tengah tetapi dijadikan sandaran di benteng akhir. Keupayaan bermain lebih daripada satu posisi tampak menjadi aset Irfan yang mempunyai visi yang jelas ketika bola sudah berada di kakinya.

Kelima, Haziq Nadzli.

Dikecam peminat susulan melakukan jaringan sendiri ketika final Sukan Sea Kuala Lumpur, Ogos tahun lalu, Haziq menebus kesilapan lalu menerusi persembahan cemerlang di China sehingga mendapat pujian jurulatih Arab Saudi, Daniel Teglia susulan kekalahan pasukan itu kepada Malaysia.

Keenam, ketujuh dan kelapan, Matthew Davies, Adam Nor Azlin dan Nor Azam Azih.




Ketiga-tiga pemain ini sama seperti Safawi kerana pernah dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya. Jika Matthew konsisten melakukan ‘overlap’ di sebelah kanan, Adam pula tenang menerusi
kepimpinan tinggi di atas padang, manakala Azam efektif membina pergerakan di bahagian tengah melalui aksi ‘one touch’.

Pemain lain seperti Dominic Tan, Syazwan Andik dan Jafri Firdaus Chew juga berpeluang diserap ke skuad senior tetapi mungkin perlu berusaha lebih keras lagi termasuk Syamer Kutty Abba yang sedikit ‘off-form’ di China.

Apa pun, pilihan ini penulis adalah berdasarkan aksi mereka dalam Kejohanan AFC B-23 di China. Penulis percaya Cheng Hoe pasti mahu menilai keupayaan mereka dalam Liga Malaysia yang akan bermula bulan depan.

Jadi, mahu tidak mahu pemain terbabit perlu mendapat tempat dalam kesebelasan utama untuk membuktikan kemampuan mereka kerana bagi penulis kelapan-lapan anda punyai potensi untuk menjadi tonggak skuad Harimau Malaya! – stadiumastro/ Zulhelmi Zainal