Mana duit saya RM36,100? – Amirullah

AMIRULLAH (belakang, tiga dari kiri) berharap Kuantan FA dapat

BEKAS pemain Kuantan FA, Ami­rullah Abd. Razab menggesa bekas majikannya menyelesaikan masalah tunggakan gaji sebelum tirai Liga Malaysia (Liga M) dibuka bulan depan.

Disember lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Status FAM telah mengarahkan Kuantan FA membayar tunggakan gaji Amirullah berjumlah RM36,100 selewat-lewatnya pada 15 Januari 2018.



Sekiranya Kuantan FA gagal membayar jumlah tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, perkara itu akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM, untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

Bagaimanapun Amirullah mendedahkan, Kuantan FA masih gagal berbuat demikian dan situasi itu telah mengganggu kariernya sebagai pemain bola sepak.

Justeru, Amirullah yang kini beraksi bersama kelab Liga FAM, D’AR Wande­rers FC menuntut Kuantan FA mempercepatkan proses tersebut atau FAM menggantung bekas majikannya jika gagal berbuat demikian.

“Mereka gagal mematuhi arahan FAM dan saya hairan atas dasar apa mereka masih boleh bersaing pada Liga M sedang­kan masih dihimpit masalah hutang.

“Saya berharap mereka akan selesaikan segera masalah tersebut kerana ini adalah ‘periuk nasi’ saya. Saya memohon kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM pertimbangkan perkara ini.




“Liga M akan bermula tidak lama lagi dan Kuantan FA masih layak bertanding. Sepatutnya kelab yang berdepan masalah kewangan tidak seharusnya diberikan slot itu, sebaliknya diberikan kepada pa­sukan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Sementara itu, seorang pegawai Kuantan FA yang enggan namanya didedahkan mengakui berlaku kekhilafan sehingga menyebabkan tunggakan tersebut lewat dilunaskan.




“Pihak kami tidak mahu perkara ini berlaku, persetujuan secara rasmi telah dibuat tetapi cuma ada beberapa dokumen akhir masih belum lengkap.

“Sebenarnya kesemua pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji di dalam peringkat proses terakhir. Benar, sepatutnya kami patut membayar pada 15 Januari lalu tetapi pentadbir Liga M, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) telah bersetuju melanjutkan tempoh itu sehingga 31 Januari ini.

“Namun, saya percaya proses itu akan selesai Jumaat ini dan menyelesaikan masalah hutang serta serahkan semua gaji pemain,” katanya. – Kosmo