Syamer, Dominic Berkelana Ke Vilaverdense F.C

Image result for syamer dominic
Foto JST

Dua anggota skuad kebangsaan B-23 negara yang layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 baru-baru ini akan menyertai kelab Divisyen ketiga Portugal, Vilaverdense F.C.



Pemain tengah Syamer Kutty dan Dominic Tan, kedua-duanya dihantar oleh kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim untuk berkelana bersama Vilaverdense F.C selama setahun.

Perkara tersebut disahkan oleh kelab bola sepak dari selatan tanah air itu melalui satu kenyataan yang dimuat naik ke dalam akaun rasmi kelab tersebut.

Kedua-dua pemain tersebut disahkan akan bertolak ke Portugal esok. Sebagai kelab yang memiliki kontrak asal kedua-dua pemain, JDT turut mengharapkan kedua-dua pemain mampu menimba seberapa banyak pengalaman di Portugal, sebelum kembali menyertai JDT dan skuad negara pada masa hadapan.




Syamer Kutty Abba ialah pemain kelahiran Pulau Pinang, dan merupakan salah seorang pemain daripada projek Harimau Muda yang berkelana di Slovakia.

Selepas pembubaran skuad Harimau Muda, Syamer kembali ke negeri asal beliau untuk menguatkan skuad Piala Presiden Pulau Pinang, sebelum dipanggil untuk menguatkan skuad utama Harimau Kumbang sejak dua musim yang lalu.

Beliau bagaimanapun dilamar oleh JDT selepas aksi cemerlang bersama skuad B-23 negara di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Dominic Tan juga merupakan rakan sepasukan Syamer ketika kedua-duanya bersama skuad Harimau Muda. Setelah pembubaran skuad berkenaan, Dominic menyertai JDT II, sebelum dipanggil menyertai skuad utama JDT pada musim lalu. – Semuanyabola/JST