Piala Sumbangsih: JDT Hanya Beri 200 Tiket, Penyokong Kedah Kecewa

Tak adil buat penyokong Kedah

RATA-RATA penyokong Kedah kecewa keputusan Johor Darul Takzim (JDT) menolak rayuan kuota 1,000 tiket oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi perlawanan Piala Sumbangsih Sultan Haji Ahmad Shah 2018 di Larkin pada 3 Februari depan.



Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman, Nor Asmadi Hamzah berkata, jumlah kuota yang dihadkan hanya 200 orang sahaja jelas tidak adil bagi sebuah perlawanan yang berstatus merebut sebuah piala.

Menurutnya, pihaknya mengakui perlawanan tersebut adalah aksi pertama Liga Super dan tuan rumah mempunyai kuasa penuh untuk menentukan kuota penyokong, namun sewajarnya ia diberi pertimbangan agar sekurang-kurangnya 1,000 penyokong Kedah dapat bertandang ke Larkin pada perlawanan tersebut.




“Sangat kecewa dengan keputusan tersebut kerana kuota sebanyak 200 orang gagal menampung sebahagian besar permintaan penyokong Kedah yang sudah merancang untuk ke Larkin sejak sekian lama.

Keputusan itu jelas tidak adil buat kami dan kami berharap sebagai balasan JDT juga akan diberikan jumlah kuota penyokong yang sama pada aksi timbal balik di Stadium Darul Aman oleh KFA,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Nor Asmadi berkata, beliau enggan mengulas lanjut perkara tersebut sama ada ia merupakan salah satu strategi tuan rumah untuk melemahkan semangat juang Lang Merah yang sebelum ini sering mendapat sokongan padu penyokong setiap kali beraksi di laman lawan.




Menurutnya, pertimbangan perlu ada dalam kalangan semua pasukan di Liga Malaysia bagi mewujudkan rasa hormat antara satu sama lain.

Sementara itu, Pengerusi Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar ketika dihubungi mengesahkan rayuan pihaknya sebelum ini telah pun ditolak JDT.

Beliau menasihatkan semua penyokong Kedah agar dapat merancang jadual ataupun mendapatkan jaminan mendapat tiket terlebih dahulu sekiranya tekad untuk ke Larkin bagi mengelakkan masalah pada hari perlawanan. – SH