Stadium baharu jadi impian FAS

SUBAHAN KAMAL (dua dari kanan) dan Timbalan Presiden FAS,  Datuk

SHAH ALAM 28 Jan. – Bosan dengan ‘permainan’ kerajaan negeri, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berhasrat membina sebuah stadium baharu khusus untuk skuad Red Giants dalam tempoh lima tahun lagi.

Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, stadium yang mungkin akan diberikan nama Red Giants itu tidak mustahil untuk dibina memandangkan Sela­ngor sudah tidak lagi bergantung kepada kerajaan negeri sejak tahun lepas.



“Itu (pembinaan stadium baharu) adalah impian saya sebagai Presiden FAS (sebab) saya tengok di negara lain contohnya Thailand, mereka mampu untuk memiliki stadium sendiri. Ada orang kata ia mustahil, namun bagi saya tidak.

“(Ini kerana) tahun lepas pun kita sudah pandai berdikari dan berdiri dengan kaki sendiri…walaupun ada naik turun, tetapi saya yakin dengan adanya penaja, syarikat korporat dan sebagainya, ia tidak mustahil.

“Kami tidak perlukan stadium yang besar, memadai simple sahaja, cukup untuk bermain bola sepak,” katanya selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Se­langor Musim 2018 di Plaza Alam Sentral, di sini hari ini.




Sebelum itu, FAS sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia kelmarin menegaskan bahawa mereka sudah lama melupakan isu berhubung kegagalan mendapatkan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang sendiri, selain mampu bergerak tanpa bantuan kerajaan negeri.

Selangor dinafikan beraksi di Stadium Shah Alam susulan masalah dalaman antara FAS dan kerajaan negeri sejak penghujung 2016.

Juara 33 kali Piala Malaysia itu berhasrat menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai ge­langgang rasmi mereka musim ini selepas menggunakan Stadium Selayang pada 2017.

Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian selepas stadium yang mampu memuatkan kira-kira 90,000 penonton itu agak mustahil untuk digunakan ke­rana dikatakan padat dengan aktiviti sepanjang tahun termasuk menjadi gelanggang Kejohanan Ragbi Asia.




Dalam perkembangan ber­kaitan, Subahan memberitahu, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan mengumumkan gelanggang rasmi Selangor esok menjelang saingan Liga Malaysia yang bakal disingkap minggu depan.

“Saya dah tahu di mana kita akan bermain pada musim ini. Tetapi biarlah FMLLP yang akan maklumkan. Kita kena ikut prosedur mereka. Sebenarnya, isu stadium ini bukanlah masalah besar.

“Yang penting, di mana sekali pun kita bermain, penyokong mesti datang memberikan soko­ngan,” katanya.