Bola sepak Itali terus dipalit krisis

FIUMICINO, Itali: Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) terus bergelumang krisis hari ini selepas gagal melantik presiden baru, dua setengah bulan selepas pasukan negara mereka gagal ke Piala Dunia.



Selepas undian empat pusingan dalam suasana kacau bilau dalam mesyuarat agung yang diadakan di Fiumicino dekat Rome, tiada siapa di antara tiga calonnya iaitu presiden Liga Amatur (LND) Cosimo Sibilia, presiden divisyen ketiga Lega Pro, Gabriele Gravina dan presiden kesatuan pemain profesional (AIC), Damiano Tommasi berjaya mendapatkan majoriti.

Tommasi berada di tempat tercorot pada undian kedua dan ketiga justeru tidak boleh memenanginya, dengan undian pusingan keempat memerlukan majoriti mudah untuk memenanginya.

Pada pusingan terakhir Gravina meraih 39.06 peratus undian, Sibilia 1.85 peratus, dengan 59.09 peratus kertas undi kosong.




Kegagalan melantik presiden hampir pasti bermakna Jawatankuasa Olimpik Itali (CONI) akan mengambil alih FIGC.

Presiden CONI, Giovanni Malago meminta sekali lagi pada Sabtu supaya undian itu ditunda, selepas berkata undian sepatutnya diadakan selepas tiga bulan bagi membolehkan Serie A melantik presidennya.

“Perhimpunan ini gagal mencapai keputusan dan kami perlu bermula kembali dari kosong,” kata Pasquale de Lise, yang mempengerusikan mesyuarat itu.

“Kami menikmati hari yang indah bersama.”




Bola sepak Itali tidak mempunyai presiden untuk kedua-dua FIGC dan divisyen utama Serie A dan tiada jurulatih kebangsaan susulan pemecatan Gian Piero Ventura akibat kegagalan kelayakan Piala Dunia.

Bajet sebanyak lima juta euro (RM24 juta) dipersetujui FIGC dengan harapan untuk menarik nama besar dengan calon berpotensi antaranya Carlo Ancelotti, Antonio Conte, Claudio Ranieri dan Roberto Mancini. – AFP