DBKL Beri Kebenaran Kepada Selangor Guna Stadium

Image result for STADIUM Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan Red Giants boleh menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang perlawanan tempat sendiri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018.



Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata pihaknya sudah membuat keputusan selain Kuala Lumpur, Selangor akan menggunakan stadium tersebut sebagai venue rasmi mereka.

Bagaimanapun, Amin berkata disebabkan kedua-dua pasukan itu beraksi dalam divisyen yang sama DBKL perlu merujuk kepada Football Limited Liability Partnership (FMLLP) supaya tiada pertindihan jadual perlawanan antara dua pasukan berkenaan.

“DBKL telah menerima beberapa permohonan daripada pasukan yang mahu menggunakan Stadium Kuala Lumpur sebagai stadium rasmi mereka antaranya Kuala Lumpur, Selangor, UKM FC dan PDRM. Bagaimanapun, kami sudah setuju untuk membenarkan Kuala Lumpur dan Selangor menggunakan stadium itu.




“Memandangkan Kuala Lumpur dan Selangor beraksi dalam Liga Super, maka kami perlu memastikan pertindihan jadual tidak berlaku di antara kedua-dua pasukan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan di sini hari ini.

Selangor dinafikan beraksi di Stadium Shah Alam susulan masalah antara FAS dan kerajaan negeri sejak penghujung 2016, menyebabkan mereka perlu mencari gelanggang lain.

Sehubungan itu juara 33 kali Piala Malaysia itu berhasrat menjadikan Stadium Nasional di Bukit Jalil sebagai venue rasmi mereka musim ini selepas menggunakan Stadium Selayang pada 2017.




Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian kerana dibimbangi jadual perlawanan melibatkan Selangor terpaksa kerap dipinda kerana stadium berkapasiti 90,000 penonton berkenaan padat dengan pelbagai acara sepanjang tahun, termasuk konsert dan menjadi gelanggang Kejohanan Ragbi Asia.

Sementara itu Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim kemudian dalam kenyataannya memaklumkan telah menerima surat kelulusan daripada DBKL dan telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) seperti disyaratkan.

“FAS berharap dengan surat tersebut FMLLP akan memberikan kelulusan seperti jaminan yang diberikan oleh (Ketua Pegawai Eksekutif) Encik Kevin Ramaligam,” katanya.