Presiden KFA buat keputusan tepat

 Presiden KFA buat keputusan tepat

Tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) akan bermula tidak beberapa hari lagi dimulakan dengan perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih) pada 3 Februari 2018 yang membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah di Stadium Larkin nanti.



Kedua-dua pasukan ini telah melakukan persiapan yang begitu rapi semasa pra-musim untuk memastikan pasukan masing-masing mampu memberi cabaran dan mencapai prestasi terbaik untuk mengangkat dan menjulang nama pasukan bagi mencipta kejayaan yang lebih baik pada tahun ini.

Memandangkan reputasi pasukan Kedah yang gah pada musim lalu sudah pastilah jurulatih baharu pasukan Kedah, Marcote, ingin satu kejayaan yang lebih gemilang untuk pasukan Kedah dan dengan itu, Marcote menginginkan pemain-pemain yang mampu membawa reputasi gah pasukan Kedah terutama membawa pemain-pemain import pilihannya termasuklah kuota pemain import ASEAN.

Ini yang menarik perhatian penulis kerana Marcote dan pengurusan Kedah yang tidak sependapat.




Pengurusan Kedah kurang bersetuju tentang pengambilan pemain import ASEAN kerana pada pendapat pengurusan Kedah, terutama Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menganggap ia merupakan satu pembaziran kerana kualiti pemain ASEAN sama dengan pemain tempatan.

Ini satu penilaian dan keputusan yang bijak daripada pengurusan KFA kerana mereka memikirkan kedudukan kewangan sepanjang tahun dan juga pembangunan pemain-pemain tempatan.

Ketegasan dalam membuat keputusan sambil memikirkan masa depan pasukan juga amat penting, oleh itu pada pandangan penulis amat tepat sekali.




Bagi pemain-pemain tempatan dan muda pasukan Kedah, ambillah peluang yang diberikan memandangkan Presiden KFA mengambil berat pencapaian dan juga peluang bermain pemain-pemain tempatan.

Memanglah sebagai jurulatih, Marcote inginkan sebuah pasukan yang mantap untuk mencipta kejayaan namun dia juga perlu memikirkan pembangunan dalam melahirkan pemain-pemain tempatan yang berkualiti khususnya dalam membantu kemajuan bola sepak negara. – stadiumastro/Hasnizam Uzir